Tolak sikap pelampau agama, perkauman

Nik Omar (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima di Masjid At-Taqwa, Taman Rantau Mas.
Nik Omar (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima di Masjid At-Taqwa, Taman Rantau Mas.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Sikap pelampau agama dan sentimen perkauman perlu ditolak kerana perkara itu boleh merosakkan keharmonian serta hubungan antara kaum yang telah lama terbentuk di negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, perkara tersebut amat tepat kerana pembinaan Malaysia berasaskan kepada jalinan kerjasama antara kaum.

"Perkara tersebut telah termaktub dalam perlembagaan negara yang menggariskan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan kuasanya terletak di bawah Institusi Raja-raja.

"Begitu juga dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dalam Perlembagaan Persekutuan turut disebut agama-agama lain bebas untuk diamalkan di negara ini dalam ruang lingkup yang telah digariskan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Banjir di Masjid At-Taqwa, Taman Rantau Mas di sini hari ini.

Seramai 700 mangsa banjir menerima sumbangan yang berupa barangan dapur.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan merupakan paksi kepada pembinaan negara ini.

Katanya, secara umumnya rakyat sudah memahami perkara tersebut namun masih terdapat sebilangan individu yang bersikap perkauman.

"Bagi saya ia lebih kepada sikap individu dan tidak melambangkan satu-satu bangsa keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat negara ini majoritinya menolak sikap pelampau agama dan sentimen yang boleh merosakkan negara," katanya.

Nik Omar berkata, sekiranya sentimen agama terus timbul meja rundingan adalah platform terbaik dalam merungkai masalah tersebut.

Katanya, perkara tersebut wajar dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan pembinaan negara tidak digugat oleh anasir-anasir negatif.

"Kita sepatutnya sudah matang dalam isu ini. Kita boleh berbeza dalam pandangan atau pendapat.

"Namun kita tidak berbeza dari sudut kehidupan, hormat-menghormati kerana perkara ini adalah asas utama kepada pembinaan negara," katanya.