X

Kindly register in order to view this article
!

Sahabat cerminan peribadi kita

JADILAH sahabat yang baik dengan membantu rakan-rakan ketika dalam kesusahan serta mengajak mereka ke arah kebaikan.
A
A

ALANGKAH beruntungnya hidup kita apabila dikelilingi oleh keluarga dan sahabat-sahabat yang ramai.

Merekalah yang menjadi 'tulang belakang' dan penyeri hidup kita dalam melayari kehidupan di dunia yang fana ini.

Ketahuilah bahawa sahabat merupakan cerminan kita. Disebabkan itu, kita perlu memilih siapa yang selayaknya menjadi sahabat kita.

Menelusuri kembali ketika zaman Rasulullah SAW, salah satu penyebab misi dakwah baginda berjaya kerana Nabi Muhammad dikelilingi oleh para sahabat yang baik dan setia.

Jika disingkap semula sisi peribadi para sahabat baginda SAW, kebanyakan mereka merupakan orang yang hebat.

Antara yang paling rapat dengan Nabi Muhammad SAW ialah isteri baginda, Khadijah binti Khuwailid, selain Abu Bakar as-Sidiq dan Ali bin Abu Talib.

Bagaimana pula dengan sahabat yang seringkali menjadi pendamping kita?

Bersyukurlah jika kita miliki sahabat yang sering mengajak kepada kebaikan dan sentiasa mengingatkan kita tentang dosa dan pahala.

Sabda Rasulullah SAW: "Orang yang terpilih antara kamu adalah seseorang yang dapat mengingatkan kamu kepada ALLAH ketika memandangnya dan perkataannya sentiasa menambahkan ilmu agama dan perbuatannya menyebabkan kamu mencintai akhirat." (Riwayat al-Hakim)

Begitu pun, andai ditakdirkan kita dikurniakan sahabat yang kurang baik pula bagaimana? Haruskah kita tinggalkan mereka?

Sebaik-baiknya, jadilah sahabat yang dapat memimpin mereka menuju kebaikan.

Jangan sesekali tinggalkan mereka, tetapi bawalah sahabat itu dalam setiap langkah kita.

Jika sahabat tadi lalai melaksanakan perintah ALLAH, marah bukan jalan penyelesaiannya, tetapi pimpinlah tangannya untuk bersama kita.

Sekiranya kawan kita itu kurang faham, ajari dan tegurlah secara berhikmah.

Mudah-mudahan hatinya akan menjadi lembut, lantas memudahkan hidayah ALLAH datang menyapanya.

Apa pun, berdoalah semoga ALLAH mengurniakan sahabat yang baik dan tidak lelah untuk memimpin kita menuju ke jalan akhirat.

(Sumber: Seindah Sabda Rasul, Muhammad Nasruddin Dasuki)