X

Kindly register in order to view this article
!

Meneroka negara terbersih di dunia

SWITZERLAND, negara paling bersih di dunia.
A
A

DALAM meraikan mood kita untuk melancong, adakah berbaloi melawat negara yang sedang berkecamuk disebabkan letusan gunung berapi, diselubungi dengan udara kotor akibat kebakaran hutan ataupun negara yang masih terus dibelenggu masalah sanitasi dan air bersih pada era moden ini?

Jawapannya, sudah pasti tidak, bukan?

Mustahil untuk kita mengeluarkan sejumlah wang untuk terbang jauh yang mana pada pengakhirannya tidak mendatangkan imbalan yang sewajarnya.

Justeru, negara mana yang boleh dijadikan pilihan?

Pada tahun lalu, dua buah universiti di Amerika Syarikat telah menjalankan satu kajian mengenai tahap kebersihan sesebuah negara berdasarkan 24 indikator.

Penyelidikan itu sekali gus menyemai keyakinan dan memberi panduan kepada pelancong seantero dunia memilih destinasi untuk diisi dalam kalendar kembara pada tahun 2020. Senarai yang dikeluarkan barangkali akan membuatkan kita terkejut dan negara yang selama ini difikirkan satu 'wilayah' yang bersih, sayangnya, besar kemungkinan tidak tersenarai.

Adakah Malaysia dan negara Asia lain seperti Jepun dan Korea Selatan berada dalam carta tersebut? Ikuti laporan yang disediakan.

10 negara yang dijamin berbaloi untuk memulakan pengembaraan

DI DUNIA ini terdapat lebih 180 negara. Kepada kaki kembara, seboleh-bolehnya mereka mahu meneroka kesemua pelosok benua seperti di Eropah, Oceania mahupun Asia.

Sudah pasti bukan semua negara menjadi pilihan. Setiap daripada pengembara pasti memilih negara yang mempunyai kriteria-kriteria seperti keindahan semula jadi yang dimiliki, cuaca, keamanan, nilai sejarah, destinasi membeli-belah yang murah selain menitikberatkan soal keselamatan.

Namun demikian, ciri yang menjadi keutamaan pastinya dari aspek kebersihan. Buat apa membelanjakan wang yang banyak tetapi membawa pelbagai penyakit yang akhirnya menyusahkan diri dan orang sekeliling.

Pendek kata, kalau memilih berjalan jauh, janganlah sampai menggadai nyawa dan merugikan diri sendiri.

Sebagai panduan kepada para pengembara agar tidak menyesal tatkala menjejakkan kaki ke sesebuah negara, Universiti Colombia dan Universiti Yale dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia bekerjasama menjalankan satu kajian yang menyenaraikan ranking negara yang paling bersih dan kotor di dunia pada tahun 2019, lapor mensgear.net baru-baru ini.

Kajian mereka antara lain mengukur tahap Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) yang mengambil pelbagai penilaian seperti kualiti air, udara, sanitasi, hutan, perubahan iklim, penggunaan logam berat, dan lain-lain.

Secara keseluruhan, EPI mengambil kira 50 peratus dari aspek 'kesihatan' alam sekitar dan 50 peratus lagi berkait rapat dengan ekosistem.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, pencemaran udara telah menjadi salah satu ancaman utama kepada kesihatan awam dan kini menjadi isu global.

Jadi, amat penting bagi seorang pelancong menyaring negara mana yang sesuai dikunjungi, bukan hanya memikirkan tiket yang murah sahaja.

Berikut ialah keputusan hasil kajian yang dijalankan oleh tiga institusi berpengaruh dunia itu. Senarai negara yang terpilih nampaknya memerlukan rakyat Malaysia mengumpul wang ekoran kadar pertukaran asing yang tinggi di 10 negara yang didaftar sebagai negara yang terbersih di dunia itu.

Namun, apa salahnya jika sekali-sekala memanjakan diri dengan momen yang indah dan boleh dikenang sepanjang zaman.

SWITZERLAND negara megah yang berjaya menduduki carta teratas negara paling bersih di dunia.
SWITZERLAND negara megah yang berjaya menduduki carta teratas negara paling bersih di dunia.

1. Switzerland

Switzerland mendahului carta kedudukan teratas sebagai negara terbersih di dunia pada tahun 2019 dengan EPI, 87.42. (Markah penuh ialah 100).

Terkenal dengan landskapnya yang sangat mengagumkan, negara itu juga telah diklasifikasikan sebagai kawasan pelancongan terbaik di dunia kerana selain bersih, ia mempunyai lebih daripada 1,500 buah tasik yang indah.

Ramai pelancong juga dikatakan gemar bertandang ke kawasan pelancongan di Matterhorn, Interlaken, Lucerne, Davos, Lake Thun, Tasik Geneva.

Switzerland yang merupakan negara kelahiran jenama jam tangan mewah seperti TAG Heuer, Tissot dan Rolex termasuk coklat juga mempunyai ekonomi yang paling stabil dan maju di dunia.

2. Perancis

Skor yang diperoleh Perancis ialah 83.95. Terletak di Eropah Barat dan merupakan negara ketiga terbesar di benua itu yang mempunyai 62 juta orang penduduk.

PERANCIS bukan sahaja dianggap negara kedua terbersih di dunia, malah berada di ranking pertama dalam dunia pelancongan.
PERANCIS bukan sahaja dianggap negara kedua terbersih di dunia, malah berada di ranking pertama dalam dunia pelancongan.

Negara yang berkeluasan 551,000 kilometer persegi itu merupakan negara yang paling mesra alam di dunia. Buktinya, skor tinggi yang dicatatkan menerusi kualiti udara dan pengurusan sanitasinya.

Selain itu, Perancis mempunyai keluaran dalam negara kasar berjumlah RM10.59 trilion.

Jadi, tidak hairanlah, Perancis merupakan negara terkaya di Eropah dan negara terkaya keempat di dunia. Perancis bukan sahaja dianggap negara terbersih, malah mempunyai destinasi pelancongan terbaik di dunia.

Berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia, Perancis berada di ranking pertama dalam dunia pelancongan.

Lebih daripada 83 juta pelancong asing melawat Perancis setiap tahun kerana mempunyai pantai yang sangat luar biasa, istana, muzium bersejarah, dan taman-taman yang hebat.

Tiga tarikan paling popular di Perancis termasuk The Louvre Museum, Menara Eiffel dan Istana Versailles.

3. Denmark

Sebuah negara di wilayah Nordic yang mementingkan pengunaan tenaga boleh diperbaharui dan berjaya mencatat skor EPI sebanyak 81.60.

Denmark hanya mempunyai jumlah penduduk seramai 5,754,356 orang.

Dianggap sebagai tempat pelancongan terkemuka bagi pelancong, tempat terbaik yang boleh dikunjungi termasuklah Taman Tivol iaitu taman hiburan tertua kedua di dunia.

DENMARK negara yang sangat cantik dan mementingkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.
DENMARK negara yang sangat cantik dan mementingkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.

Lebih menarik, untuk mendapatkan pengalaman yang hebat, luangkan masa ke Nyhavn, Muzium Nasional Denmark, Galeri Nasional Denmark, Istana Christiansborg, Istana Frederiksborg dan patung Little Mermaid yang terkenal.

Tidak ketinggalan, The Klitmoller (dikenali sebagai Cold Hawaii di Scandinavia) yang merupakan salah satu pantai yang terbaik untuk diteroka.

KEPADATAN penduduk dengan anggaran 450,000 orang, Malta merupakan salah sebuah negara terkecil di dunia.
KEPADATAN penduduk dengan anggaran 450,000 orang, Malta merupakan salah sebuah negara terkecil di dunia.

4. Malta

Malta menduduki tempat keempat negara terbersih di dunia dengan skor EPI 80.90.

Satu perkara yang perlu diketahui, Malta merupakan salah satu negara terkecil di dunia dengan anggaran 450,000 penduduk.

Berdasarkan rekod, rakyat Eropah suka bertandang ke sana ekoran pantainya yang memukau. Nilai sejarah yang dipunyai negara itu juga cukup hebat.

Kepulauan Maltese iaitu Malta, Gozo dan Comino mempunyai sejarah kuno yang dibuktikan dengan keruntuhan bangunan tertua yang ada pada hari ini.

Antara ketiga-tiga pulau tersebut, Gozo merupakan destinasi yang paling maju.

Menurut hasil kajian, sesiapa yang memperuntukkan masa lebih seminggu di Malta, pasti akan jatuh cinta dengan ketenangan bandarnya dan landskap yang memukau.

5. Sweden

Sweden antara negara yang konsisten dalam senarai negara paling bersih di dunia sejak bertahun-tahun lalu. Dengan skor EPI 80.51, Sweden mempraktikkan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Semua negara Scandinavia mempunyai tiga ciri umum iaitu bersih, aman, dan maju. Negara itu dikatakan telah menawarkan jalan-jalannya yang bebas dengan sampah, pencemaran udara yang sangat minimum dan kemudahan kebersihan di mana-mana sahaja wilayah negaranya.

DIGELAR sebagai syurga buat pengembara, Sweden menduduki carta kelima negara terbersih di dunia.
DIGELAR sebagai syurga buat pengembara, Sweden menduduki carta kelima negara terbersih di dunia.

Beribu-ribu ekar hutannya dan tasik dipelihara dengan sangat baik. Sweden juga mempunyai sistem kitar semula sampah yang paling cekap.

Digelar sebagai syurga buat pengembara, para pelancong boleh meneroka tarikan pelancongan lain seperti The Royale Palace, Skansen, Muzium Vasa, Gamla Stan dan Ice Hotel.

6. United Kingdom (UK)

UK memperoleh skor sebanyak 79.89. Negara itu mempunyai kelebihan dalam dua kategori iaitu Kawasan Perlindungan Marin dan Perlindungan Biome dengan Indeks Kualiti Udara yang sangat baik.

Bertepatan dengan saiznya, UK mempunyai penduduk sebanyak 63.1 juta orang. Dianggarkan bahawa hampir 8.1 juta orang tinggal di London.

Tempat-tempat menarik di UK termasuklah di The Tower of London, The Roman Baths dan Georgian City of Bath. Sebahagian daripada mercu tanda ikonik yang lain untuk dikunjungi ialah York Minster, Historic Yorkshire dan Katedral Canterbury.

DIANGGARKAN hampir 8.1 juta orang tinggal di London, ibu negara United Kingdom.
DIANGGARKAN hampir 8.1 juta orang tinggal di London, ibu negara United Kingdom.

Negara besar tersebut mempunyai KDNK sebanyak RM9.88 trilion dan mencatat ekonomi ketiga terbesar di Eropah.

7. Luxembourg

Sebuah negara Eropah kecil yang dikelilingi oleh Belgium, Perancis, dan Jerman dengan skor EPI 79.12.

Luxembourg merangkumi kurang daripada 0.0153 hektar dan mempunyai populasi kurang daripada 600,000 orang. Bahagian utara negara berkenaan mempunyai hutan dan taman alam, Ardennes yang tebal.

Bahagian timurnya pula mempunyai lembah berbatu sempit rantau Mullerthal dan di tenggara dihiasi dengan lembah sungai Moselle.

Ibu kota, Luxembourg City merupakan rumah kepada bandar lama pada abad pertengahan yang dipelihara. Beberapa bandar kecil di negara berkenaan masih mempunyai benteng lama, istana yang besar dan latar belakang yang indah.

LUXEMBOURG, negara Eropah yang kecil, namun berjaya menduduki carta ke-7 negara terbersih di dunia.
LUXEMBOURG, negara Eropah yang kecil, namun berjaya menduduki carta ke-7 negara terbersih di dunia.

Tempat-tempat menarik yang menjadi tumpuan ialah Tembok Corniche, Upper Sûre Natural Park dan Esch-Sur-Sûre, Larochette, dan Grand Duke Jean Museum of Modern Art.

8. Austria

Mempunyai skor EPI sebanyak 78.97. Terletak di Eropah Tengah dan dikelilingi dengan daratan dan pergunungan. Menariknya, Austria sangat selamat daripada sisa lautan dan dua pertiga keseluruhan kawasannya diliputi dengan padang berumput dan hutan dan mempunyai air terjun Krimml yang sangat indah.

AUSTRIA sebuah negara yang dikelilingi daratan dan medan pergunungan.
AUSTRIA sebuah negara yang dikelilingi daratan dan medan pergunungan.

Negara berbahasa Jerman itu menawarkan kawasan-kawasan bersejarah untuk diterokai antaranya di Vienna, salah satu taman hiburan tertua di dunia, The Wurstelprater dan zoo tertua di dunia, The Tiergarten Schönbrunn.

Selain itu, Istana Schönbrunn, Istana Belvedere, Istana Mirabell, Salzkammergut dan wajib melakukan aktiviti sukan salji di sana!

9. Ireland

Digelar sebagai Emerald Isle, Ireland merupakan sebuah negara hijau yang terletak di barat laut Eropah dengan skor EPI sebanyak 78.77. Selain menjadi salah satu tempat paling bersih, negara itu juga merupakan pulau terbesar ke-20 di dunia iaitu sekitar 0.784 hektar.

IRELAND, sebuah negara hijau yang terletak di barat laut Eropah.
IRELAND, sebuah negara hijau yang terletak di barat laut Eropah.

Majoriti penduduknya bercakap dalam bahasa Inggeris namun, bahasa rasmi negara tersebut ialah bahasa Ireland. Ireland terkenal kerana mempunyai banyak istana-istana yang unik dan cantik.

Pengembara luar juga boleh mencuba untuk menunggang kuda, bermain golf, belayar dan menjelajah ke pulau-pulau yang mengagumkan.

Dublin, ibu negaranya mempunyai ciri-ciri mercu ikon yang menarik seperti Katedral St. Patrick yang dibina pada tahun 1220.

10. Finland

Dilihat sebagai antara negara yang paling mudah didiami di dunia.

Ia memiliki hutan dan pemandangan alam semula jadi yang sangat menarik. Menggunakan sumber tenaga yang mesra alam, negara itu mencatat skor EPI 78.64 dan ini bermakna penduduk di Finland tidak akan mudah terdedah kepada penyakit yang dikaitkan dengan risiko alam sekitar.

Di samping itu, tahap kebersihan negara tersebut yang tinggi telah menyumbang kepada pelancongan yang berkembang pesat. Ia menyaksikan pertumbuhan bilangan pelancong antarabangsa yang mencecah hampir 6.6 juta pada tahun 2019.

SEBUAH negara yang menggunakan sumber tenaga yang mesra alam menjadikan Finland negara yang menghidangkan pemandangan alam semulajadi.
SEBUAH negara yang menggunakan sumber tenaga yang mesra alam menjadikan Finland negara yang menghidangkan pemandangan alam semulajadi.

Terokailah beberapa tempat menarik lain seperti Muzium Siida, Olavinlinna, Suomenlinna, Lampivaara Amethyst Mine, SantaPark.

Dalam pada itu, negara-negara lain yang mempunyai EPI tinggi dan dianggap antara tempat-tempat paling bersih untuk melancong termasuk Iceland, Sepanyol, Jerman, Norway dan Belgium. Negara-negara tersebut masing-masing mencatat 78.57, 78.39. 78.37, 77.49 dan 77.38 skor EPI.

Selain itu, destinasi kegemaran orang ramai iaitu Itali, mencatat 76.96 skor EPI manakala New Zealand menduduki tempat ke-17 dengan mata 75.96.