'Malaysia kan aman'

No Image Caption
A
A
A

“Malaysia kan aman.” Itu antara kata-kata popular yang sering diucapkan segelintir ahli-ahli politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sehingga turut dijadikan sindiran sesetengah pihak apabila timbulnya isu berhubung keamanan negara.

Ironinya, kenyataan itu kini boleh dianggap tepat berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) apabila Malaysia diletakkan pada kedudukan ke-16 negara paling aman di dunia tahun lalu berbanding ke-25 pada 2018.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada 14 Januari lalu memberitahu, kedudukan Malaysia lebih baik berbanding 2018. Kedudukan itu juga menunjukkan Malaysia di tangga kelima paling aman di Asia Pasifik dan ketiga paling aman di Asia selepas Singapura dan Jepun.

Pengiktirafan itu sudah tentu membanggakan negara, bahkan boleh dijadikan bahan promosi sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Bagaimanapun, benarkah Malaysia negara aman? Walaupun situasi negara tidaklah kritikal sebagaimana negara-negara bergolak di Asia Barat, namun isu-isu jenayah seperti rompakan bersenjata, penyeludupan, pemerdagangan orang, rogol, curi dan sebagainya yang hampir setiap hari dilaporkan, ia sebenarnya tidak menjadikan kita cukup bebas ke sana ke mari.

Adakah ia boleh dikategorikan aman jika kes jenayah bukan hanya dilakukan orang awam sebaliknya turut berlaku dalam kalangan penguat kuasa dan penguasa menyebabkan rakyat sentiasa berwaspada.

Bukan itu sahaja, beberapa isu keselamatan turut dipersoalkan rakyat sendiri termasuk pelaksanaan pengecualian visa terhadap India dan China yang berkuat kuasa selama setahun bermula 1 Januari lalu dan berakhir 31 Disember tahun ini.

Pas melalui Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 1 Januari lalu mendesak kerajaan membatalkan pelaksanaan tersebut, sebaliknya memberi tumpuan kepada lambakan pelancong dari kedua-dua negara terbabit yang bermastautin di negara ini berikutan 95 peratus pelancong dari kedua-dua negara terlibat tiada rekod keluar antara 2016 hingga 2018.

Artikel Berkaitan:

KeselamatanPendedahan itu agak membimbangkan rakyat Malaysia kerana dikhuatiri menyumbang peningkatan kadar jenayah, apatah lagi tidak kurang paparan media melaporkan jenayah melibatkan warga China termasuk penahanan hampir 1,000 warganegara itu melalui sindiket penipuan pelaburan dalam talian hasil serbuan Jabatan Imigresen sejak 20 November lalu.

Adakah kita boleh dianggap aman apabila rakyat Malaysia dilihat hilang kepercayaan terhadap hala tuju negara disebabkan ketidakpastian ekonomi dan politik? Berdasarkan laporan sebuah portal yang mengambil kajian dibuat Merdeka Center pada 5 Januari lalu, 26 peratus rakyat Malaysia berfikiran negara berada di landasan betul manakala 61peratus lagi merasakan bahawa negara seolah-olah tiada masa hadapan.

Sebenarnya tidak dapat dipastikan secara tepat ukuran keamanan dibuat mana-mana pihak kerana masing-masing mempunyai penilaian berdasarkan objektif tersendiri.

Walaupun GPI mengiktiraf kita dalam senarai 20 negara aman, namun belum tentu pihak lain memandang kita dari sudut pandang sama.

Dalam isu keselamatan udara, misalnya, negara sedikit tersinggung apabila Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat pada 12 November lalu menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia daripada Kategori 1 kepada Kategori 2, meletakkan kita sebaris Bangladesh, Ghana dan Costa Rica, selain Thailand yang mengalami nasib sama apabila turut diturunkan ke Kategori 2 pada 2015 dan kekal di kedudukan itu hingga kini.

New Zealand pula iaitu negara kedua paling aman di dunia pada 2019 selepas Iceland turut mengetatkan kemasukan rakyat Malaysia berkunjung negara itu. Mereka yang mahu ke sana walaupun untuk tujuan transit perlu memiliki Electronic Travel Authority dan perlu membayar untuk International Visitor Conservation and Tourism Levy. Tanpa dokumen tersebut, rakyat Malaysia disekat masuk ke negara berkenaan.

Menurut laman sesawang Kementerian Perniagaan, Inovatif dan Pekerjaan negara tersebut, syarat baharu yang berkuat kuasa Oktober tahun lalu bertujuan meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko isu berkaitan imigrasi, penyeludupan dan biosekuriti.

Bagaimanapun, pengiktirafan GPI mungkin boleh dipandang dari sudut positif oleh pihak pemerintah khususnya dan mungkin boleh dijadikan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk meletakkan negara pada tahap lebih baik.

Dari segi perubahan iklimnya, kita mungkin boleh menarik nafas lega kerana kita sebagai sebuah negara di luar lingkaran gunung berapi tidak berdepan bencana-bencana besar sebagaimana negara terlibat.

Istilah aman, walaupun lain orang lain interpretasinya, namun dengan nilai kerugian, kehilangan nyawa, harta benda yang tidaklah setinggi negara terlibat bencana, mungkin ia boleh dianggap salah satu nikmat paling besar yang perlu kita syukuri.