X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah belasah Tai Po FC

Kipre (kanan) menjaringkan hatrik untuk bantu Kedah benam Tai Po FC 5-1 bagi aksi kelayakan ACL 2020 di Stadium Darul Aman, malam tadi. FOTO AHMAD ZAKI OSMAN.
A
A

PASUKAN gergasi utara, Kedah mudah menjinakkan Tai Po FC 5-1 bagi aksi Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Lang Merah berjaya mara ke satu lagi aksi kelayakan bertemu kelab Korea Selatan,FC Seoul di laman lawan pada 28 Januari ini.

Pada perlawanan tersebut, tuan rumah berada di hadapan 1-0 seawal minit ke-3 menerusi Kipre Tchetche yang menjaringkan gol cantik selepas menyambut hantaran ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Tai Po FC berusaha menyamakan kedudukan menerusi Chan Man Fai pada minit ke-10 namun tidak berjaya.

Rentak tersusun dan asakan berterusan Kedah akhirnya membuahkan hasil apabila Kipre sekali lagi menjarakkan kedudukan kepada 2-0 selepas menerima lorongan cantik daripada Rizal Ghazali pada minit ke-21.

Kelab Hong Kong itu terpaksa beraksi 10 pemain apabila pemainnya, Sun Ming Him dilayangkan kad merah pada minit ke-32 selepas menarik Kipre yang dalam usahanya untuk mara ke arah kubu pasukan pelawat.

Kelebihan dimiliki Kedah itu dimanfaatkan sebaik mungkin dan mereka berjaya mejarakkan jurang kepada 3-0 hasil jaringan Hadin Azman yang mendapat umpanan daripada Kpah Sherman pada minit ke-46.

Tuan rumah terus menambah derita pasukan pelawat kepada 4-0 juga melalui Hadin pada minit ke-65 selepas pemain itu menjaringkan gol hasil kegagalan pasukan lawan gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bagaimanapun Tai Po FC berjaya memperolehi gol saguhati pada minit ke-67 untuk merapatkan jurang kepada 4-1 menerusi Chan Man Fai hasil satu serangan balas pantas.

Tuan rumah menutup malam gemilang mereka menerusi hatrik Kipre pada minit ke-90 untuk kedudukan 5-1 hasil lorongan Baddrol.