Tak cinta kerana tak kenal

A
A
A

Saya teruja apabila membaca sebuah berita di Facebook, bagaimana sayap sebuah parti politik telah menganjurkan program yang begitu santai yang mereka namakan Street Caligraphy. Program anjuran Pemuda Pas Kuala Langat dan Ameerah Kuala Langat telah diadakan di Pantai Morib baru-baru ini.

Dalam program itu, pengunjung diberi peluang untuk nama mereka ditulis dalam tulisan jawi, cina, tamil dan rumi. Dengan cara itu, setiap mereka yang menyertainya dapat melihat nama mereka dieja dalam pelbagai bentuk tulisan. Rata-rata mereka yang mengambil bahagian seronok melihat nama mereka tertulis dalam pelbagai kaligrafi.

Dari acara yang begitu simple, ia membuka hati pengunjung untuk melihat betapa unik dan kayanya budaya dalam tulisan kaligrafi. Masing-masing kelihatan gembira. Daripada paparan foto yang diambil jelas sekali tiada wajah-wajah yang takut apabila melihat bentuk tulisan kaum lain. Mesej program itu jelas — berkenal-kenallah dengan kaligrafi kaum lain. Apabila sudah kenal, ia tidak menakutkan langsung, malah rasa suka mula mendatang.Tidak timbul alasan menakut-nakutkan bahawa tulisan jawi boleh memesongkan pandangan mereka yang beragama lain hingga boleh memeluk Islam.

Tentu sekali tulisan cina ataupun tamil tidak akan membuat seseorang yang mempelajarinya boleh menukar agama. Jadi, mengapa pula masih ada pandangan sampah sebegitu? Malangnya mengapa masih ada yang percaya dan takut pada tulisan? Apa puncanya? Puncanya ialah kerana tidak kenal. Apabila tidak kenal, maka tiadalah cinta.

Soalnya sekarang, kenapa setelah lebih 60 tahun merdeka, kita biarkan perkara itu berlaku? Mengapa semakin ramai di antara kita semakin mengasingkan diri dan bergaul hanya sesama bangsa? ALLAH menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal. Bila kita tidak saling berkenal, maka akan timbul rasa curiga dan melarat kepada sikap bermusuh. Apabila kita tidak ikut ajarannya, maka jadilah masalah. Apakah orang Islam sahaja yang patut belajar dan ambil tahu tentang kaum lain? Itu tidak patut.

Memanglah tidak patut jika orang Islam sahaja yang pergi untuk mempelajari budaya kaum lain. Yang sepatutnya ialah dalam berusaha untuk mempelajari budaya kaum lain, orang Islam perlu juga memperkenalkan budayanya sendiri. Orang Islam kena mulakan dahulu, kerana mereka majoriti.Sememangnya benar, masing-masing tidak mengorak langkah untuk memperbaiki hubungan kerana takut. Masing-masing takut diperalatkan, dipermainkan, ditipu dan dikhianati.

Soalnya, jika kita renung, semua itu berlaku dalam media sosial, akhbar, dan di televisyen. Kalau adapun berlakunya bantahan secara nyata, kesemuanya digelembungkan dengan kehadiran media yang merakam dengan kamera dan mikrofon. Selepas menghambur kata di media cetak dan elektronik, sepanduk dilipat dan kesemuanya sejuk kembali. Setelah tamat sidang akhbar, semuanya menjalankan kerja dan hidup masing-masing.

Orang Melayu tidak kisah shopping di kedai Cina, orang India tidak kisah bangsa apakah yang pandu Grab yang dipanggil dan orang Cina beratur panjang hendak beli nasi lemak mak cik di simpang jalan.

Artikel Berkaitan:

Dari segi makan minum, masing-masing balun semua. Dari segi bahasa, masing-masing menyelit, ‘podah,’ ‘ngam’ atau ‘lah’ dalam pertuturan. Apabila tiba acara bola sepak, masing-masing menyokong Malaysia. Bila berlaku kemalangan, kita jadi manusia dan tak kira bangsa. Jadi, hantu manakah yang telah mempengaruhi kita untuk curiga di antara satu sama lain hingga ke peringkat benci?

Maaf cakap, sama ada kita suka atau tidak, mereka yang kerap bercakaran secara lantang di media itulah yang telah mempengaruhi kita.

Barangkali, kita bukan setakat Uninstall Kebencian: Reboot #MalaysiaHarmoni seperti saranan Penerbit akhbar Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub. Sebaliknya kita patut juga Uninstall Haters iaitu ‘menendang’ mereka yang sentiasa memainkan api kebencian itu jauh-jauh daripada perhatian kita!

* Norden Mohamed ialah bekas Ketua Pengarang Sinar Harian