Bekas Ketua Interpol dipenjara 13 tahun

Hongwei mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah lebih RM8 juta. -Foto Agensi
Hongwei mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah lebih RM8 juta. -Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - Bekas ketua Agensi Polis Antarabangsa (Interpol) yang berdepan tuduhan rasuah dijatuhi hukuman penjara 13 tahun enam bulan oleh sebuah mahkamah di China hari ini.

Meng Hongwei yang menjadi rakyat China pertama mengetuai Interpol dilaporkan 'hilang' ketika lawatan ke Beijing dari Paris pada September 2018.

Pada Oktober 2018, China mengesahkan beliau telah ditahan di bawah kempen antirasuah dilancarkan Presiden Xi Jinping.

Hongwei, 56, turut mengaku bersalah menerima suapan lebih AS$2 juta (RM8 juta) dalam perbicaraan pada tahun lalu.

Mahkamah Rakyat Pertengahan Tianjin turut mengarahkan beliau membayar denda berjumlah 2 juta Yuan (RM1.2 juta).

Hongwei juga dilarang mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut.

Beliau dijadualkan terus berkhidmat sebagai ketua Interpol sehingga 2020, namun agensi terbabit memaklumkan Hongwei meletak jawatan beberapa hari selepas isterinya melaporkan tentang kehilangannya.

Isterinya yang kini menetap di Perancis di bawah suaka politik mendakwa tuduhan dilemparkan ke atas suaminya adalah bermotifkan politik. - Agensi

Artikel Berkaitan: