PLUS tutup lorong tambah nilai mulai esok hingga 3 Februari

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol masuk seliaannya mulai esok hingga 3 Februari ini bagi melancarkan pergerakan trafik sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan dilaksanakan pada setiap musim perayaan itu bertujuan mengurangkan kesesakan disebabkan pelanggan beratur di lorong tambah nilai plaza tol.

“Pada musim perayaan kali ini, sebanyak dua juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya PLUS terutama pada waktu puncak iaitu pada 22, 23, 24, 27, 28 dan 31 Januari serta 1 Februari nanti.

“Oleh itu, perjalanan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pelanggan terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, PLUS tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol, namun terdapat kira-kira 11,000 pusat tambah nilai kad Touch ‘n Go disediakan di seluruh negara termasuk di stesen minyak terpilih, kawasan rehat dan rawat serta pusat khidmat pelanggan PLUS di plaza tol terpilih. - Bernama

Artikel Berkaitan: