X

Kindly register in order to view this article
!

Rohingya: BROUK tolak laporan Suruhanjaya Siasatan Bebas Myanmar

Etnik minoriti Rohingya -Foto 123rf
A
A

KUALA LUMPUR- Pertubuhan Rohingya Burma United Kingdom (BROUK) pada Isnin menolak laporan yang diterbitkan Suruhanjaya Siasatan Bebas Myanmar (ICOE) pada hari sama yang merumuskan bahawa tiada bukti genosid ditemui meskipun terdapat keterangan kukuh bahawa jenayah perang telah dilakukan oleh segelintir anggota pasukan keselamatan Myanmar.

BROUK dalam satu kenyataan menyebut bahawa laporan penuh itu, yang belum dikeluarkan kepada umum, merupakan satu lagi percubaan untuk membersihkan tindakan keganasan kejam Tatmadaw (pasukan bersenjata Myanmar) terhadap etnik Rohingya.

“ICOE mempunyai kecacatan yang nyata sejak awal, dengan persoalan serius mengenai mandat dan ketiadaan kebebasannya. Pengumuman pada Isnin adalah satu tindakan PR secara terang-terangan untuk mengalih perhatian daripada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada akhir minggu ini.

"Ini hanyalah satu lagi percubaan oleh pihak berkuasa Myanmar untuk menyembunyikan genosid Rohingya,” kata Tun Khin, jurucakap BROUK dalam satu kenyataan.

Tun Khin berkata panel empat anggota ICOE itu seolah-olah membayangkan sebarang penganiayaan oleh pasukan keselamatan Myanmar hanyalah perbuatan segelintir anggota tentera dan gagal untuk menyalahkan pegawai kanan tentera Myanmar termasuk Panglima Tertinggi Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, seperti dipersetujui pakar lain, sebagai mempunyai kaitan dengan jenayah kekejaman itu.

Beliau berkata ia juga adalah mengenai isu pegawai Tatmadaw yang didakwa melakukan jenayah mungkin dibicarakan di mahkamah tentera domestik, yang tidak bebas dan telus untuk menegakkan keadilan.

"Pada April 2018, misalnya, mahkamah tentera memenjarakan tujuh anggota tentera yang memainkan peranan membunuh orang awam etnik Rohingya di Kampung Inn Din pada 2017. Tentera terbabit bagaimanapun telah diberi pengampunan dan dibebaskan kurang setahun kemudian," katanya.

Tun Khin berkata pengumuman ICOE juga seolah-olah berbetulan dengan kes genosid yang dibawa Gambia terhadap Myanmar di ICJ.

ICJ dijangka mengumumkan pada Khamis sama ada akan mengenakan tindakan sementara ke atas Myanmar dalam bentuk injunksi yang melarang Myanmar daripada terus melakukan genosid terhadap etnik Rohingya.

“Selama bertahun-tahun, Myanmar dengan jelas menunjukkan bahawa ia tidak boleh dipercayai untuk menyiasat dirinya sendiri. Misi badan-badan pencari kebenaran pada masa lampau dalam isu genosid Rohingya ternyata gagal untuk menegakkan keadilan,” kata Tun Khin.

“Syukurlah, momentum sedang bergerak ke arah keadilan antarabangsa. Minggu ini, kami berharap agar ICJ akan mengenakan tindakan sementara yang keras ke atas Myanmar dan mengarahkan mereka agar menghentikan amalan genosid terhadap etnik Rohingya," katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus