Harry mulakan kehidupan sebagai rakyat biasa

Harry selamat tiba di Lapangan Terbang Victoria di Pulau Vancouver selepas melalui perjalanan selama 12 jam dari Lapangan Terbang Heathrow di London semalam. - Foto Agensi
Harry selamat tiba di Lapangan Terbang Victoria di Pulau Vancouver selepas melalui perjalanan selama 12 jam dari Lapangan Terbang Heathrow di London semalam. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON - Pewaris keenam takhta Britain, Putera Harry memulakan kehidupan baharu sebagai rakyat biasa di Kanada bersama isteri, Meghan Markle dan anak mereka, Archie berusia lapan bulan selepas beliau tiba di negara itu dengan pesawat British Airways malam semalam.

The Telegraph melaporkan Duke of Sussex terbabit menaiki penerbangan ke Vancouver selepas menghadiri sidang kemuncak pelaburan UK-Afrika di London yang menjadi salah satu tugas rasmi terakhir beliau sebagai keluarga diraja.

“Pemergian beliau itu dianggap langkah simbolik selepas dua hari Istana Buckingham mengumumkan mereka telah memutuskan kesemua hubungan rasmi dengan pasangan terbabit,” lapor akhbar itu lagi.

Harry turut mengadakan pertemuan secara privasi selama 20 minit bersama Perdana Menteri, Boris Johnson kelmarin malah pemimpin Parti Konservatif itu turut mendoakan yang terbaik buat pasangan tersebut.

Keputusan mengejutkan itu dibuat pada 8 Januari lalu selepas Harry dan bekas aktres Amerika Syarikat tersebut berikutan mereka bergelut untuk menjalani kehidupan seharian secara normal berikutan menjadi tumpuan ramai sejak berkahwin pada Mei 2018.

Di bawah langkah itu, Harry dan Meghan tidak lagi akan mewakili nenda mereka, Ratu Elizabeth II, memegang gelaran kehormat tentera dan menerima dana awam malah pasangan terbabit juga tidak lagi dirujuk sebagai ‘Yang Amat Mulia’.

Mereka masih boleh mengekalkan keistimewaan privasi, namun perlu mengekalkan nilai diraja dalam apa jua bentuk urusan. - Agensi

Artikel Berkaitan: