Tambah lorong Lebuhraya PLUS Ayer Hitam-Skudai

Mohd Solihan menyampaikan hamper kepada pengguna lebuh raya pada Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Peringkat Negeri dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Tol Plaza Kempas di sini hari ini.
Mohd Solihan menyampaikan hamper kepada pengguna lebuh raya pada Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Peringkat Negeri dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Tol Plaza Kempas di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan diharap dapat menambah lorong di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) antara Ayer Hitam ke Skudai melibatkan laluan sepanjang 65 kilometer.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri berkata, cadangan menambah laluan kepada enam lorong daripada empat lorong sedia ada ketika ini telah pun dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menurutnya, pertambahan jumlah kenderaan yang mencapai tahap maksimum menyebabkan keperluan tersebut perlu diutamakan.

"Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sudah melakukan kajian terhadap keperluan menambah lorong bagi laluan Ayer Hitam dan Skudai.

"Laluan berkenaan sudah tidak lagi dapat menampung pertambahan kenderaan terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

"Justeru, kerajaan Pusat diminta memberi perhatian terhadap keperluan menambah lorong bagi laluan Ayer Hitam-Skudai. Kemalangan yang berlaku di laluan berkenaan juga akan menyebabkan kesesakan lalu lintas menyebabkan pengguna lambat, sekali gus mengganggu produktiviti," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Peringkat Negeri dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Tol Plaza Kempas di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ) Johor, Razali Wagiman.

Artikel Berkaitan:

Mohd Solihan turut menggesa pengguna mematuhi undang-undang jalan raya termasuk pemakaian warna terang dan mudah dilihat untuk penunggang motosikal, di samping meminta mereka berhati-hati di jalan raya terutama pada waktu puncak.