X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda UMNO harap TH terus bantu jemaah haji

Dr Asyraf Wajdi
Dr Asyraf Wajdi
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO berharap agar Tabung Haji (TH) meneruskan pemberian subsidi kepada jemaah haji yang buat kali pertama berjaya dalam rayuan.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keutamaan perlu diberikan kepada dua kategori jemaah haji yang melakukan rayuan tersebut.

Katanya, suami kali pertama mengerjakan haji merayu untuk menjadi mahram kepada isteri yang berjaya mendapat tawaran haji pada tahun yang berbeza.

"Kedua, anak kali pertama mengerjakan haji merayu untuk menggantikan tempat ayah yang meninggal dunia dan berhajat menemani ibu yang sudah lanjut usia atau uzur namun berjaya mendapat tawaran haji tahun tersebut.

"Dalam kebanyakan kes mereka bukanlah daripada kategori golongan berada. Sebab itulah amalan TH waktu kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka hanya perlu bayar harga subsidi haji RM9,980," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Kenyataan tersebut merujuk kepada khabar angin yang mendakwa tiada lagi subsidi untuk jemaah haji kali pertama yang berjaya dalam rayuan mulai tahun ini dengan dikenakan bayaran RM21,200.

Asyraf berkata, matlamat penubuhan TH adalah untuk mempermudahkan urusan jemaah haji Malaysia termasuklah dengan cara memberikan subsidi bagi membolehkan keperluan istitoah (berkemampuan) jemaah itu dapat dipenuhi.

"TH adalah satu-satunya institusi pengurusan Haji terbaik dunia kerana selain daripada menguruskan jemaah haji, mereka juga terlibat dalam pelbagai bentuk pelaburan.

"Sebahagian daripada keuntungan dikembalikan dalam bentuk hibah kepada pendeposit manakala sebahagian yang lain dimanfaatkan dalam bentuk subsidi bagi mengurangkan beban jemaah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf