Kerajaan masih bincang duti eksais: Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng -Foto Bernama
Menteri Kewangan Lim Guan Eng -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih belum mencapai sebarang persetujuan berkaitan penstrukturan semula duti eksais melibatkan kenderaan yang dipasang di dalam negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagaimanapun memberi jaminan, sekiranya ada perubahan, ia tidak akan memberi kesan ke atas kadar duti eksais semasa.

“Sekiranya ada sebarang perubahan, ia mesti dilaksanakan secara berperingkat dan bukannya tiba-tiba.

"Kita sedang berbincang mengenai perkara itu bagi memastikan ketelusan (dari segi pelaporan) supaya kita boleh terus memenuhi obligasi kita terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Belanjawan 2020: Skim Jaminan Kerajaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) di sini.

Guan Eng berharap, semua pihak menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan dan tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi di dalam pasaran.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai potensi kenaikan harga bagi kenderaan yang dipasang di peringkat tempatan susulan kemungkinan penstrukturan semula duti automotif.

Menurut laporan berkenaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan sedang berbincang untuk menentukan kadar semakan bagi dasar duti eksais melibatkan kenderaan yang menjalani pemasangan tempatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: