X

Kindly register in order to view this article
!

Pahang bakal laksana pakaian patuh syariah buat atlet

A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sedang bergerak ke arah pelaksanaan pemakaian patuh syariah dalam kalangan atlet beragama Islam sebagai usaha memartabatkan syiar Islam di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu diserahkan kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad untuk dibincang dan diperhalusi sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Menurutnya, sebagai permulaan, Seminar Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah Peringkat Negeri Pahang diadakan hari ini bertujuan membincangkan isu tersebut dan satu resolusi telah dikemukakan sebagai garis panduan pelaksanaannya untuk diperhalusi.

"Kita juga akan merujuk perkara ini dengan Pejabat Mufti Negeri dan Jawatankuasa Fatwa dan pihak-pihak lain sebelum membuat sebarang keputusan tapi memang kita ke arah itu seperti mana yang dilaksanakan di Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup seminar itu di Auditorium Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini hari ini.

Turut hadir, Syed Ibrahim; Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Datuk Seri Mohd Johari Hussain; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Terdahulu dalam ucapan perasmian penutupnya, Wan Rosdy berkata, selain membincangkan isu pemakaian patuh syariah, seminar anjuran kerajaan negeri dan KUIPSAS itu juga bertujuan mengumpul dan membentuk rangkaian cendekiawan ke arah menyumbang idea tersebut, selain menyemarakkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pematuhan syariah terutamanya pemakaian atlet sukan.

"Kita lihat perkara ini amat baik, bukan sahaja mematuhi tuntutan agama, malah atlet yang memakai pakaian mematuhi syariah boleh menjadi contoh khususnya golongan wanita untuk turut bersukan tanpa menjadikan isu pakaian sebagai alasan," katanya.

Beliau berkata, walaupun pelaksanaan tersebut mempunyai cabaran dan tentangan daripada pelbagai pihak termasuk atlet dan persatuan-persatuan sukan, namun tegasnya, tuntutan agama perlu diutamakan.

Turut disenaraikan, 14 jenis sukan yang boleh dilibatkan dalam pemakaian atlet patuh syariah termasuk silat, taekwondo, karate do, lawan pedang, memanah, menembak dan golf.

Sebanyak 19 acara sukan pula turut disenaraikan ke arah pemakaian patuh syariah melibatkan atlet perempuan termasuk renang, tinju, angkat berat, pelayaran, ragbi, olahraga, badminton dan bola jaring.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!