X

Kindly register in order to view this article
!

Raja Perlis titah sektor swasta bantu pelancongan Perlis

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan mendengar taklimat yang disampaikan Pengarah Perhutanan Negeri Ag. Shaffie Ag. Ahmadni (kiri) ketika melawat galeri selepas menyempurnakan majlis perasmian Bangunan Galeri Gua Kelam, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di Gua Kelam hari ini. - Foto Bernama
A
A

PADANG BESAR - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menggalakkan pihak swasta yang mempunyai modal pelaburan, membangunkan lebih banyak tempat pelancongan menarik di negeri tersebut.

Baginda bertitah perkara itu haruslah didukung dengan dasar-dasar kerajaan yang memudahkan cara, serta menawarkan kemudahan dan insentif tertentu bagi menggalakkan lagi pembangunan pelancongan di Perlis.

“Pembangunan pelancongan mestilah mampu menarik pelawat dari luar untuk datang dan bermalam di sini, kita tidak boleh mengharapkan pelancong dalam negeri sahaja kerana jumlah penduduk Perlis kecil,” titah baginda semasa merasmikan Galeri Gua Kelam di Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah bagi membolehkan hasrat berkenaan terlaksana, Perlis perlu menonjolkan daya tarikan pelancongan yang unik dan berbeza berbanding produk pelancongan di negeri lain.

“Dengan memiliki produk pelancongan yang mempunyai keistimewaan tersendiri, berlatar belakangkan suasana Perlis yang indah, Saya percaya lebih ramai pelancong dari luar teruja untuk datang ke negeri ini,” titah baginda.

Baginda bertitah, semua pihak perlu mengambil bahagian dalam mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Perlis 2021.

Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah meminta rakyat negeri ini memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan dan tidak mengharapkan pihak tertentu sahaja melakukannya.

“Tidak ada guna tempat menarik tetapi dikotori dengan sampah sarap. Saya tidak mahu pelancong luar datang ke Perlis untuk menikmati keindahan tetapi pulang dengan pedih mata kerana melihat sampah sarap,” titah baginda. - Bernama