TH selesai pindah ekuiti tidak berprestasi baik

A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) telah selesai memindahkan kesemua ekuiti yang tidak berprestasi baik kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd setakat 30 Disember 2018.

Malah, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, satu sidang media khusus bagi memaklumkan perkembangan usaha itu akan diadakan pada minggu depan.

"Satu sidang media akan diadakan minggu depan. Bagi perkara yang membabitkan TH, kita sudah pun memindahkan saham-saham tersebut," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji akan kembali ke landasannya tahun ini]

Zukri berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai usaha pemindahan itu kepada SPV yang merupakan sebahagian daripada langkah penstrukturan semula TH.

Beliau bagaimanapun tidak memberi sebarang komen bagi pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp jika usaha pemindahan itu turut membabitkan aset-aset hartanah milik TH.

Berdasarkan pemerhatian, sekurang-kurangnya 49 syarikat-syarikat senaraian awam telah memberi 'Notis Orang Yang Terhenti Menjadi Pemegang Syer Substansial' kepada Bursa Malaysia bermula dari 28 Disember 2018 sehingga semalam, susulan pengambilalihan saham-saham terbabit oleh Urusharta Jamaah.

Pada sidang media 11 Disember lepas, Zukri berkata, TH menyasarkan untuk menyelesaikan langkah pemindahan itu menjelang akhir Disember 2018 yang bertujuan menstabilkan kedudukan kewangan dengan aset mengimbangi liabiliti selain membolehkan TH membayar dividen tahunan bagi tahun kewangan 2018.

Secara keseluruhannya, aset-aset bernilai RM19.9 bilion telah dikenal pasti untuk dipindahkan kepada SPV tersebut yang merangkumi 80 peratus dalam bentuk ekuiti dengan susut nilai melebihi 20 peratus manakala baki dalam bentuk hartanah dengan hasil di bawah dua peratus.

Sebagai pertukaran terhadap aset itu, SPV tersebut akan menerbitkan sukuk tujuh tahun bernilai RM10 bilion dan RM9.9 bilion Saham Keutamaan Boleh Tebus Islam.

Menurut Zukri, TH juga berhasrat mengurangkan dedahan ekuitinya kepada 20 peratus berbanding 40 peratus, sebelum ini.

Antara syarikat yang terbabit dalam pemindahan saham-saham itu adalah UEM Sunrise Bhd, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd, Alam Maritim Resources Bhd, Mah Sing Group Bhd, FGV Holdings Bhd, Brahim’s Holdings Bhd, Puncak Niaga Holdings Bhd, Parkson Holdings Bhd, White Horse Bhd, MCT Bhd MMC Corporation Bhd, Suria Capital Holdings Bhd dan Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd.

Setakat ini, TH masih kekal memegang saham utama dalam kaunter-kaunter seperti Tenaga Nasional Bhd, Ranhill Holdings Bhd, Maxis Bhd dan BIMB Holdings Bhd.

Sebagaimana diumumkan sebelum ini, pemindahan aset yang tidak berprestasi baik kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan, juga bertujuan untuk menstabilkan kedudukan kewangan TH.

TH mencatat liabiliti sebanyak RM74.4 bilion berbanding jumlah aset sebanyak RM70.3 bilion yang menunjukkan defisit RM4.1 bilion setakat 31 Disember 2017. - Bernama