X

Kindly register in order to view this article
!

94 pegawai pantau peniaga di Kelantan

KPDNHEP Kelantan
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hanifa Ahmad (dua dari kiri) dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Adnan Abd Rahman (tiga, kanan) ketika membuat tinjauan harga barang pada pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2020 di sebuah pasar raya hari ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA BHARU - Seramai 94 Pegawai Pemantau Harga (PPH) berpakaian biasa akan ditugaskan bagi memantau harga barangan di 476 buah premis di Kelantan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina, tidak lama lagi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, penugasan mereka adalah sempena Skim Kawalan Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2020.

Beliau berkata kumpulan petugas ini akan memantau harga barangan dan akan melaporkannya di pejabat.

"Selepas laporan dibuat dan sekiranya ada perbezaan harga pasukan penguat kuasa akan melakukan pemeriksaan di premis yang dinyatakan. Kesemua mereka ini daripada lima cawangan pejabat KPDNHEP di Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah dan Kota Bharu," katanya selepas pelancaran SHMMP oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad di sini, hari ini.

Selain itu, 135 pegawai penguat kuasa juga akan menjalankan tugas pada musim perayaan ini bagi mengesan peniaga yang menyalahi peraturan.

Kesemua PPH ini biasanya akan membuat pemantauan di pasar raya, kedai runcit, pasar mini dan pasar basah yang berada di bawah penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Bagi negeri Kelantan, hanya 15 jenis barangan dikenal pasti bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 yang berkuat kuasa selama 14 hari bermula semalam sehingga 2 Februari ini kecuali babi hidup kerana harga maksimum dikawal di peringkat peladang.

"Selain pemantauan harga barangan musim perayaan, pihak kami menjalankan pemantauan secara berkala iaitu membabitkan 160 jenis barangan yang diperiksa secara harian dan 360 jenis barangan pada mingguan dan 417 jenis barangan secara bulanan," katanya.

Bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan ke atas-atas mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus