Sasar 70 peratus eksport produk akuakultur

Zamani (dua dari kanan) menunjukkan produk hiliran udang oleh Syarikat Greater Asia Seafood Sdn Bhd di Jalan Keluli 7, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.
Zamani (dua dari kanan) menunjukkan produk hiliran udang oleh Syarikat Greater Asia Seafood Sdn Bhd di Jalan Keluli 7, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.
A
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Perikanan Negeri Johor optimis menyumbang sehingga 70 peratus kepada jumlah eksport pasaran luar negara bagi produk akuakultur khususnya udang sehingga penghujung tahun ini.

Pengarahnya, Zamani Omar berkata, perkara itu dilihat berdasarkan peningkatan memberangsangkan hasil eksport dicapai tahun lalu iaitu sebanyak 6,374.99 tan metrik berbanding 5,986.18 tan tahun sebelumnya.

"Di Johor, kita sekarang ada satu kawasan yang besar iaitu berpusat di pantai timur yang kita tumpukan di Desaru, Kota Tinggi.

"Dengan adanya kerjasama daripada pemain industri, apabila ada bahan mentah banyak termasuk pembungkusan, pengilangan dan pada masa sama ada pemasaran, ia sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan projek ternakan udang dan produk hiliran udang oleh Syarikat Greater Asia Seafood Sdn Bhd di Jalan Keluli 7, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini.

Zamani berkata, usaha berkenaan juga diyakini mampu mencapai sasarannya apabila kerajaan negeri turut memperuntukkan RM500,000 bagi penambahbaikan kolam membabitkan industri akuakultur.

Katanya, daripada kesemua jumlah dana diperuntukkan, 20 peratus daripadanya adalah khusus bagi pembangunan penternakan udang.

“Macam lawatan kali ini, kita dimaklumkan Syarikat Greater Asia Seafood Sdn Bhd yang sudah beroperasi sejak Mac 2010 ini telah berjaya mencapai kemajuan apabila turut mengeksport produk akuakultur ke beberapa negara antaranya Australia, China, Jepun selain di Eropah.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai pengeksport tunggal udang harimau ke Australia, syarikat ini juga sentiasa memastikan dan mengekalkan kualiti produk mereka seiring piawaian ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya.