69 projek mesra rakyat berjaya diselesaikan: Fuziah

Fuziah berpuas hati dengan laporan prestasi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan Jun 2018 hingga Disember 2019 mencapai sasaran dalam membantu rakyat.
Fuziah berpuas hati dengan laporan prestasi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan Jun 2018 hingga Disember 2019 mencapai sasaran dalam membantu rakyat.
A
A
A

KUANTAN - Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan berjaya menyelesaikan 69 projek mesra rakyat membabitkan peruntukan RM2 juta sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, peruntukan itu membabitkan pelbagai kategori projek berimpak besar kepada seluruh warga Kuantan seperti pendidikan, infrastruktur awam, pembekalan dan bangunan awam.

"Pada tahun lalu, kita telah mengagihkan kira-kira RM700,000 bagi membaik pulih pelbagai kemudahan awam seperti perhentian bas, pondok Skim Rondaan Sukarela (SRS), balai raya dan sebagainya.

"Sebanyak RM757,213 digunakan bagi pembangunan awam; pendidikan (RM242,787) dan seterusnya pembekalan sebanyak RM300,000 dengan memberikan dua unit traktor kepada peladang dan pesawah di Parlimen Kuantan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya pembentangan laporan prestasi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan pada Jun 2018 hingga Disember 2019 di Pejabatnya hari ini.

Fuziah sebelum itu memaklumkan pihaknya menerima peruntukan khas Ahli Parlimen Kuantan sebanyak RM3.5 juta.

Beliau berkata, peruntukan itu diagihkan dengan menumpukan tiga aspek iaitu kebajikan, sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan projek mesra rakyat.

"Kita amat berpuas hati kerana laporan prestasi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan sejak Jun 2018 hingga Disember tahun lalu dilihat memberangsangkan dan mencapai sasaran membantu rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan itu, Fuziah turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan saluran yang betul untuk membuat aduan masalah setempat bagi memudahkan pihaknya mengambil tindakan cepat.

"Boleh dikatakan 95 peratus masalah setempat dihebahkan oleh penduduk Kuantan dalam media sosial walhal mereka boleh membuat aduan secara terus kepada agensi kerajaan berkaitan.

"Selain itu, mereka juga boleh membuat aduan di halaman Facebook Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan atau datang sendiri ke pejabat kami," katanya.