SOSMA: Bicara kes saman Khairuddin 1 Jun ini

Khairuddin Abu Hassan
Khairuddin Abu Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes saman Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan enam individu lain berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ditetapkan empat hari mulai 1 Jun.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya hari ini dengan kehadiran peguam Irzan Iswat Mohd Nor mewakili Khairuddin selaku plaintif dan Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Ashraf Abd Hamid bertindak bagi pihak lapan individu terbabit yang merupakan defendan.

Irzan Iswat memberitahu pemberita bahawa pihak plaintif akan mengemukakan enam saksi manakala defendan akan memanggil empat saksi.

"Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan penyataan saksi pada 30 April ini selain menetapkan 4 Mei untuk pengurusan kes selanjutnya," katanya selepas pengurusan kes.

Khairuddin memfailkan saman itu terhadap Asistan Superintendan Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Superintendan C. Muniandy; kedua-duanya pegawai penyiasat daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman; Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Superintendan Habibi Majinji dan Khalid yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga kelapan ialah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Mohamed Apandi dan Kerajaan Malaysia.

Dalam saman yang difailkan pada Mei 2018, Khairuddin mendakwa beliau telah ditahan pihak berkuasa pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Pada 23 September tahun sama selepas dibebaskan, plaintif ditahan semula mengikut SOSMA dan telah berada dalam tahanan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 124L akta sama atas dakwaan cuba melakukan sabotaj pada perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan, plaintif telah ditahan selama 60 hari di penjara Sungai Buloh.

Bagaimanapun pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap plaintif dan Khairuddin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Khairuddin mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas terus, oleh itu plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM5.23 juta, teladan sebanyak RM2.6 juta dan berpanjangan sebanyak RM1 juta, ganti rugi teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai. - Bernama