Ada pihak sengaja mahu jatuhkan saya

Tular isu ketua kampung tipu penduduk
Tular isu ketua kampung tipu penduduk
A
A
A

JOHOR BAHRU – Tular di laman sosial tentang tindakan seorang Ketua Kampung di Felda Taib Andak di Kulai, di sini yang didakwa telah menipu penduduk felda berkenaan dan dikatakan telah menjalankan tugas jawatan itu sedangkan majlis angkat sumpah ketua kampung baginya belum dijalankan.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh Rohaizad Abdullah, 47 yang memaklumkan perkara yang ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu sengaja disebarkan semata-mata untuk menjatuhkan kedudukannya.

“Saya kira perkara yang disebarkan itu sengaja mahu menjatuhkan reputasi saya. Memang benar, saya belum angkat sumpah sebagai Ketua Kampung Felda Taib Andak tetapi difahamkan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Tetapi, nama saya sememangnya sudah ada di peringkat Pejabat Daerah Kulai. Buat masa ini, nama saya hanya untuk pelantikan sementara sebelum majlis angkat sumpah diadakan dan cop itu tidak akan dikeluarkan sesuka hati,” katanya kepada Sinar Harian.

Rohaizad yang juga Ahli Jawatan Kuasa Bersatu Cawangan Felda Taib Andak berkata, insiden berkenaan tidak akan melunturkan semangatnya untuk meneruskan khidmat di felda berkenaan sebaliknya menaikkan semangatnya untuk mencurahkan bakti di situ setelah pelantikan secara rasmi berlangsung.

“Saya kira perkara ini tidak menggugat tumpuan saya untuk berkhidmat di Felda Taib Andak selepas dilantik secara rasmi nanti, kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, nama Rohaizad sememangnya telah diperakui oleh Pegawai Daerah Kulai sebagai calon Ketua Kampung Felda Taib Andak.

“Bagaimanapun, namanya belum diangkat di peringkat kerajaan negeri lagi dan belum diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

Artikel Berkaitan:

“Ini bermakna sepatutnya dia (Rohaizad) tidak boleh tandatangan apa-apa dokumen berkaitan yang memerlukan pengesahan darinya.

“Saya sendiri telah nasihatkan kepadanya supaya tidak tandatangan apa-apa dokumen lagi selepas ini selagi belum angkat sumpah secara rasmi,” katanya.

Dzulkefly berkata, beliau telah menasihatkan secepat mungkin diadakan majlis angkat sumpah Ketua Kampung melibatkan 54 individu yang layak untuk pengambilan yang terakhir dalam masa terdekat ini.

“Rohaizad juga termasuk dalam senarai 54 Ketua Kampung yang angkat sumpah itu. Kita harap ia akan diselesaikan dalam bulan ini juga sekaligus melengkapkan seramai 667 Ketua Kampung di seluruh Johor. Kita jangka bulan depan kita akan adakan kursus melibatkan semua ketua kampung di seluruh negeri ini,” katanya.