X

Kindly register in order to view this article
!

Tabung pusingan dana bumiputera tidak guna duit DBKL: Khalid

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mengeluarkan peruntukan sendiri bagi tabung pusingan dana RM3. 9 juta yang digunakan untuk membantu kaum bumiputera membayar deposit rumah mampu milik di ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, wang tersebut datangnya dari hasil kutipan penalti dan bayaran pemaju yang menjual rumah kuota bumiputera kepada bukan bumiputera tanpa kebenaran.

"Duit tersebut sebelum ini dikumpulkan dan dimasukkan dalam tabung pendapatan DBKL tetapi saya mengatakan ia bukan pendapatan tetapi adalah hasil kuota bumiputera yang tak diberikan kepada bumiputera.

"Maka ia wajar dikembalikan untuk pastikan kuota tersebut dapat digunakan sepenuhnya," katanya yang ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sumbangan sempena Tahun Baru Cina bersama komuniti Kuala Lumpur di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Khalid berkata, tabung pusingan dana tersebut ditubuhkan sebagai inisiatif membantu kaum bumiputera miliki kediaman dalam masa sama memenuhi kuota yang diperuntukkan.

"Kuota bumiputera tak banyak dalam 30 peratus saja tapi jumlah itu (rumah mampu milik) tak dapat dibeli. Jadi kita gunakan duit itu bagi membantu pembeli memudahkan pembeliannya.

"Mungkin ada dalam kalangan mereka yang sudah ditawarkan pinjaman bank namun tak mampu nak sediakan deposit ditetapkan, jadi wang itu yang akan digunakan untuk pendahuluan," katanya.

Khamis lalu, Khalid mengumumkan penubuhan tabung pusingan bernilai RM3.9 juta bagi membantu pembeli bumiputera yang menghadapi masalah pembayaran deposit melalui penyediaan pinjaman dengan tempoh bayaran semula selama 10 tahun tanpa faedah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus