Pusat TVET baharu bakal operasi Mac depan

Sivanesan (empat dari kiri) ketika hadir dalam perjumpaan bersama guru-guru kauseling sekolah menengah negeri Perak bagi taklimat program TVET dan kerjaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sains Tapah hari ini.
Sivanesan (empat dari kiri) ketika hadir dalam perjumpaan bersama guru-guru kauseling sekolah menengah negeri Perak bagi taklimat program TVET dan kerjaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sains Tapah hari ini.
A
A
A

TAPAH - Pembukaan sebuah pusat latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) yang dirancang di Bidor sudah mendapat persetujuan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Sumber Manusia.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, pusat latihan itu akan beroperasi seawal Mac depan di sebuah bangunan sewa milik Majlis Daerah Batang Padang.

Menurutnya, untuk fasa pertama, pusat berkenaan akan menawarkan program hospitaliti dan pelancongan serta keusahawanan diikuti fasa kedua iaitu kursus penjagaan kesihatan dan kecantikan; perkhidmatan teknikal serta lain-lain kemahiran seperti komputer, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.

"Untuk permulaan ini pengambilan pelatih adalah 100 orang sahaja membabitkan lima kawasan Parlimen iaitu Tanjung Malim, Bagan Datuk, Teluk Intan, Tapah dan Kampar.

"Kita akan lihat perkembangannya nanti, sekiranya mendapat permintaan baik, kita cadangkan agar pusat latihan sama dibuka di kawasan lain pula seperti di utara Perak," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan program intership melalui Jaringan Pekerja Perak TVET dan peluang pekerjaan melalui TVET Perak serta Job Malaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja.

Katanya, didapati hampir 65 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah berhijrah bagi mendapatkan pekerjaan namun hanya memperoleh gaji minimum sekitar RM1,200 disebabkan tidak mempunyai kelebihan dalam kemahiran.

"Dengan adanya pusat latihan ini nanti, sekurang-kurangnya mereka yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi mempunyai ruang untuk melatih kemahiran.

Artikel Berkaitan:

"Ini antara inisiatif dilakukan pentadbiran kerajaan untuk memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir daripada peluang pekerjaan," katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai itu mengadakan perjumpaan bersama guru-guru kaunseling sekolah menengah negeri Perak bagi taklimat program TVET dan kerjaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sains Tapah.