X

Kindly register in order to view this article
!

Pencemaran Sungai Mempelam bukan berpunca daripada efluen

Sungai Mempelam
Keadaan sungai diadukan penduduk yang dipenuhi lemak dari sisa makanan di Sungai Mempelam di sini.
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Alam Sekitar Kedah mengenal pasti tiada sebarang pelepasan efluen di Sungai Mempelam yang menyebabkan air sungai tersebut bertukar hitam dan berbau busuk.

Pengarahnya, Norazizi Adinan berkata, berdasarkan siasatan dan tinjauan pihaknya, punca aliran sungai tersebut adalah dari longkang awam yang menerima pelepasan dari Kawasan Industri Mergong Barrage dan juga pembuangan sisa dari gerai makanan, bengkel kenderaan, bengkel besi dan lain-lain.

Menurutnya, pelbagai faktor boleh diambil kira yang membawa kepada punca sungai berkenaan berwarna hitam dan mengeluarkan bau.

"Antaranya, pembuangan sampah sarap, sisa-sisa makanan dan kadar aliran sungai itu sendiri yang tidak mengalir dengan lancar dan hampir tepu juga yang mana telah menyebabkan sisa terus mendap ke dasar sungai," katanya dalam satu kenyataan.

Norazizi berkata, faktor-faktor yang dinyatakan boleh membawa kepada perubahan warna dan bau sungai.

Terdahulu, sepasukan penyiasat JAS Kedah telah melakukan siasatan dan tinjauan ke Sungai Mempelam pada Sabtu dan Ahad lalu susulan aduan penduduk pada Khamis lepas yang mengaitkannya dengan pembuangan sisa cecair dipercayai bahan kimia.

Pelbagai faktor boleh diambil kira yang membawa kepada punca sungai berkenaan berwarna hitam dan mengeluarkan bau.

Sementara itu Norazizi berkata, pihaknya akan terus melakukan rondaan dan pemantauan rapi ke atas kawasan aduan dan akan merangka program kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) demi menyelesaikan masalah pencemaran di kawasan sungai tersebut.

Katanya, pelbagai langkah akan diambil seperti melakukan kerja-kerja pembersihan sungai dan memeriksa serta menyiasat punca-punca yang berpotensi menyumbang kepada masalah berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!