Gesa gubal undang-undang pendanaan politik

Gambar hiasan pilihan raya -Foto 123RF
Gambar hiasan pilihan raya -Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) wajib dipinda, manakala undang-undang pendanaan politik mesti digubal bagi mengawal dua teras utamanya iaitu sumber dan perbelanjaan dana tersebut.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan akhbar hari ini memberitahu, ketika ini, AKPR hanya mengawal perbelanjaan kempen calon sewaktu kempen pilihan raya, sementara perbelanjaan oleh parti politik dan lain-lain termasuk untuk faedah calon sebahagian besarnya tidak dikawal.

Malah katanya, tidak ada peraturan untuk derma politik kepada parti politik serta calon.

"Pendanaan politik yang tidak dikawal bukan sahaja akan membuka ruang untuk rasuah dan pengaruh tidak wajar oleh pihak berkepentingan, bahkan ia akan merendahkan keyakinan umum terhadap integriti pilihan raya.

"Maka pindaan AKPR serta penggubalan undang-undang pendanaan politik mesti digubal bagi menyediakan padang yang sama rata kepada pertandingan politik serta mengurangkan pengaruh politik wang,"jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu juga merujuk kepada testimoni Setiausaha Agung barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang mendedahkan bagaimana UMNO mengutip sumbangan untuk kempen pilihan raya melalui sumbangan politik.

Menurut kenyataan itu lagi, pendedahan testimoni itu menunjukkan bagaimana jumlah wang yang sebegitu besar dikutip dan dibelanjakan untuk pilihan raya.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 memberitahu, bagi sumber dana, sumbangan kepada parti politik dan calon, berbentuk wang dan yang serupa dengannya yang melebihi RM1,000 perlu diisytiharkan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kawalan tersebut perlu berjalan untuk setiap masa dan untuk semua jenis sumbangan termasuk daripada individu dan korporat, serta dari dalam atau luar negeri.

Bagaimanapun katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai penjaga wang rakyat perlu dihalang daripada memberi sumbangan kepada parti politik atau terlibat dengan aktiviti politik.

"Pembiayaan awam kepada parti politik juga perlu diperkenalkan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber persendirian terutamanya golongan berkepentingan daripada orang kaya dan korporat.

"Bagi perbelanjaan dana pula, had perbelanjaan kempen RM100,000 untuk calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan RM200,000 untuk calon Parlimen perlu ditingkatkan kepada jumlah yang lebih realistik.

"Kami mencadangkan untuk perbelanjaan kempen dinaikkan ke RM500,000 dan RM1,000,000 serta peraturan itu juga perlu meliputi perbelanjaan oleh parti politik dan pihak ketiga," katanya.

Kenyataan sama menyebut, semua calon perlu menghantar laporan perbelanjaan dan pendapatan semasa kempen pilihan raya dengan dokumen sokongan dan ia perlu diaudit serta dipamerkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk disemak oleh orang ramai bagi meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

"Reformasi pendanaan politik juga perlu selari dengan reformasi SPR untuk memastikan mereka mempunyai kuasa bagi menguatkuasakan undang-undang pilihan raya.

"Kami menggesa kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik secepat mungkin dan mengumumkan rang undang-undang itu kepada orang ramai agar semua pihak berkepentingan dapat memberikan pandangan serta cadangan semasa sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Khas Parlimen," katanya.