Permohonan inkues kematian Nora Anne sudah dihantar

Keluarga Nora Anne dakwa kehilangan remaja berusia 15 tahun itu ada unsur jenayah.
Keluarga Nora Anne dakwa kehilangan remaja berusia 15 tahun itu ada unsur jenayah.
A
A
A

SEREMBAN - Peguam mewakili keluarga Nora Anne Quoirin, Sankara Nair memberitahu permohonan inkues terhadap kematian remaja Ireland-Perancis itu telah dihantar kepada Peguam Negara pada Disember tahun lalu.

Sankara berkata, permohonan inkues itu penting bagi membolehkan pihak keluarga mengetahui perkara sebenar berlaku sebelum mayat remaja itu ditemui termasuk hasil siasatan yang lebih terperinci.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu jawapan lanjut daripada pihak Peguam Negara.

"Kami dah buat permohonan kepada Peguam Negara pada Disember tahun lalu tapi belum ada sebarang berita.

"Dia tidak kata tidak boleh (inkues) tetapi cuma belum jawab lagi permohonan kita. Saya berharap beliau (Peguam Negara) akan membenarkan permohonan inkues ini.

"Kita tunggu sahaja, mungkin AG (Peguam Negara) juga sedang menunggu laporan penuh toksikologi," katanya.

Sankara berkata demikian semasa ditemui pemberita di Mahkamah Seremban hari ini selepas pengurusan kes saman sivil terhadap operator Resort The Dusun.

Sankara Nair
Sankara Nair

Artikel Berkaitan:

Tuntutan yang dikemukakan pada 24 Disember 2019 lalu adalah sebanyak RM152,000 atas dakwaan operator gagal memastikan keselamatan premis yang diinap keluarga berkenaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh pengurusan kes kali kedua pada 12 Februari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: The Dusun Resort sedia maklum kes saman keluarga Nora Anne

Laporan penuh bedah siasat Nora Anne diperoleh dalam masa terdekat

Terdahulu, ayah Nora Anne, Sebastian Marie Philipe dan ibunya,Meabh Quoirin mengemukakan saman ke atas Helen Marion Todd, operator The Dusun Resort yang menjadi lokasi percutian mereka sekeluarga pada Ogos 2019.

Dalam tuntutan itu, mereka mendakwa Todd gagal memastikan keselamatan premis tersebut, selain tidak memasang kamera keselamatan dan tidak menyelenggara serta memastikan keupayaan selak pintu bilik inapan mereka.

Remaja Ireland itu dilapor hilang pada 4 Ogos, sehari selepas tiba bersama keluarganya untuk percutian dua minggu di resort The Dusun di Pantai, Negeri Sembilan.

Nora Anne tiba di resort itu bersama ibu bapanya, Sebastian Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin serta dua orang adiknya, Innes Julia serta Maurice.

Selepas 10 hari pencarian dilakukan, mayat gadis itu ditemukan di kawasan lurah, 2.5 kilometer dari resort penginapan keluarganya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pada jam 1.57 tengah hari.

Laporan awal bedah siasat menyatakan tiada unsur jenayah dalam kematian remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu.

Remaja itu meninggal dunia akibat kebocoran usus kerana tidak makan untuk tempoh panjang.