Kerepek kaduk? Tak cuba tak tahu rasanya...

Noorhayati menunjukkan kerepek makanan ringan berasaskan herba iaitu daun kaduk yang sudah digoreng ketika ditemui Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama
Noorhayati menunjukkan kerepek makanan ringan berasaskan herba iaitu daun kaduk yang sudah digoreng ketika ditemui Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Setiap kali sebut herba, ramai memikirkan rasanya yang pahit, kelat dan mungkin menolak untuk mengambilnya, namun hasil inovasi Kudapan Herba Enterprise di sini, persepsi itu berjaya ditepis.

Menggunakan slogan ‘nampak biasa yang luar biasa', syarikat yang terletak di Kampung Kubang Udang Bekor, Manong itu mengambil langkah mengusahakan makanan ringan berasaskan herba termasuk daun kaduk di bawah jenama ‘Kerepek Herba Yongtie'.

Menurut pemiliknya, Noorhayati Zakaria, 49, beliau membuat inovasi terhadap daun kaduk, sejenis herba yang berbentuk seperti daun sirih dengan menjadikannya kerepek menggunakan ramuan yang cukup mudah dan ternyata usahanya itu berhasil apabila ia menjadi snek kegemaran ramai.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, idea menghasilkan kerepek daun kaduk yang penuh khasiat antaranya membuang angin dalam badan, membantu proses penghadaman serta melawaskan pembuangan air kecil itu timbul selepas berpindah semula ke Perak pada awal 2017 setelah berhenti kerja di sebuah syarikat Jepun di Pulau Pinang.

Pengusaha Kudapan Herba Enterprise Noorhayati Zakaria, 49, memetik daun kaduk untuk dibuat kerepek makanan ringan berasaskan herba ketika ditemui Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama
Pengusaha Kudapan Herba Enterprise Noorhayati Zakaria, 49, memetik daun kaduk untuk dibuat kerepek makanan ringan berasaskan herba ketika ditemui Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama

Pada mulanya, Noorhayati membuat kerepek daun kaduk untuk dinikmati bersama keluarga, namun tidak menyangka ia mendapat permintaan termasuk daripada rakan-rakan yang kebanyakannya memberikan komen positif.

Sejak itu, Noorhayati yang lebih mesra dengan panggilan Yongtie sering mengikuti kursus usahawan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menimba ilmu perniagaan dan meningkatkan kualiti produk makanan ringannya.

Bagaimanapun, beliau bukan sekadar menghadiri kursus tetapi turut membawa kerepek herba ke mana sahaja untuk tenaga pengajar, rakan-rakan serta peserta kursus merasainya bagi tujuan penambahbaikan.

Artikel Berkaitan:

Noorhayati menggoreng kerepek makanan ringan berasaskan herba iaitu daun kaduk ketika ditemui Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama
Noorhayati menggoreng kerepek makanan ringan berasaskan herba iaitu daun kaduk ketika ditemui Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama

"Syarikat kini mempunyai empat jenis kerepek iaitu daun kaduk, peria, bawang putih, daun bayam selain merancang mempromosikan kerepek daun kunyit serta bayam Brazil, bekalan juga amat mudah diperoleh di sekitar kampung, malah saya menanam sendiri daun kaduk di belakang rumah kerana mudah tumbuh selain memerlukan penjagaan minimum," katanya.

Tidak kedekut untuk berkongsi resipi, Noorhayati berkata, ramuan membuat kerepek herba hanya menggunakan tepung beras, jintan manis, jintan putih, telur dan ketumbar selain memastikan minyak dalam setiap bungkusan dibuang dengan menggunakan mesin buang minyak (mesin spinner).

Katanya, kerepek herba yang kini mendapat permintaan di Perak dan Kedah dijual pada harga RM5 untuk 100 gram manakala RM10 untuk 200 gram dan ia membolehkan Noorhayati meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

Noorhayati menunjukkan empat jenis kerepek makanan ringan berasaskan herba iaitu daun kaduk, peria, bawang putih, daun bayam ketika ditemui Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama
Noorhayati menunjukkan empat jenis kerepek makanan ringan berasaskan herba iaitu daun kaduk, peria, bawang putih, daun bayam ketika ditemui Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama

Noorhayati dalam pada itu menyimpan impian untuk membuka sebuah kedai menjual pelbagai jenis kerepek herba hasil air tangan sendiri, satu hari nanti dan akan berusaha untuk mengetengahkan produk kerepek herbanya sehingga ke peringkat antarabangsa.

Orang ramai yang ingin mendapatkan kerepek herba boleh menghubungi Noorhayati di talian 012-4194478 atau melalui laman sosial Facebook dan Instagram ‘Mutiara Anja’. - Bernama