Bapa terlepas hukuman mati

Tertuduh, Hemy Faizal dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, hari ini.
Tertuduh, Hemy Faizal dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang bapa kepada dua anak dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Melaka atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 87.95 gram, tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Siti Khadijah S Hassan Barjenid membuat keputusan itu terhadap tertuduh Hemy Faizal Mohtar, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tertuduh juga terlepas daripada pertuduhan kedua dan ketiga di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 masing-masing atas kesalahan mengedar dadah jenis heroin seberat 3.65 gram serta memiliki dadah monoacetyle morphines (0.16 gram)

Dia didakwa melakukan kesalahan bagi pertuduhan satu hingga tiga itu kira-kira jam 3 pagi di sebuah bengkel besi di Kampung Sungai Putat pada 25 Jun 2016 mengikut Seksyen 12(3) akta sama.

Bagaimanapun, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah bagi pertuduhan keempat atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine (1.35 gram) dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM100,000.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 2.15 pagi di sebuah rumah di Jalan Tembusu, Taman Merdeka di sini pada 25 Jun 2016.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebelum Peguam Haslinda Abu Bakar merayu hukuman anak guamnya diringankan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Siti Khadijah menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dari tempoh ditangkap iaitu 25 Jun 2016 dan denda RM30,000 atau penjara 18 bulan jika gagal bayar denda itu.

Artikel Berkaitan: