UMP, Agrico berkongsi kepakaran

Dr Wan Azhar (empat dari kanan) dan Ahmed Hussain (empat dari kiri) pada majlis menandatangani MoU antara UMP dengan Agrico di Kuala Lumpur semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Dr Wan Azhar (empat dari kanan) dan Ahmed Hussain (empat dari kiri) pada majlis menandatangani MoU antara UMP dengan Agrico di Kuala Lumpur semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Malaysia Pahang (UMP) melangkah setapak lagi menerusi kerjasama strategik dengan Syarikat Agrico For Agricultural Development, Qatar (Agrico) bagi pembangunan produk pertanian berkualiti tinggi.

Agrico merupakan syarikat pembekal sistem dan hasil tanaman daripada kaedah Rumah Hijau (Green House) di Doha, Qatar.

Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, kerjasama strategik itu akan melibatkan bidang penyelidikan, pembangunan produk, pengkomersialan dan pertukaran kepakaran bagi kegunaan pertanian yang akan diguna pakai di rumah hijau Agrico.

Menurutnya, kerjasama itu membolehkan UMP berkongsi kepakaran bagi menepati keperluan industri pada masa hadapan, bukan hanya dalam negara tetapi pada peringkat antarabangsa.

“UMP sedang berusaha untuk menjadi sebuah institusi akademik yang berjaya terutama bagi mengatasi agenda untuk tahap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih tinggi, selain bekerja keras untuk mendorong inisiatif agar berjaya dalam pengkomersialan teknologi melalui kerjasama dengan rakan industri lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Terdahulu, beliau menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Agrico yang diwakili oleh Pengerusi Pembangunan Projek Antarabangsa Agrico Agricultural Development, Qatar, Ahmed Hussain Al-Khalaf.

Mengulas lanjut, Wan Azhar berkata, MoU itu adalah kesinambungan kerjasama yang dilaksanakan sejak April 2019.

“Menerusi kerjasama ini, penyelidik UMP akan menghasilkan produk pertanian Organic Mono Potassium Phosphate (MKP) dan Organic Calcium Nitrate (CANO3) untuk kegunaan rumah hijau.

Artikel Berkaitan:

“Saya amat berbangga dengan hasil usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh Penyelidik UMP, Dr Noormazlinah Ahmad dan Dr Siti Hajar Noor Shaarani daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) yang terlibat dalam kerjasama ini.

“Semoga lebih ramai penyelidik di UMP dapat menerokai peluang kerjasama antarabangsa seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Hussain berkata, kerjasama berkenaan mampu meningkatkan hasil pertanian yang bermutu tinggi, seterusnya dapat dikomersialkan dengan lebih meluas di negara-negara lain.

Menurutnya, Malaysia mempunyai lokasi strategik yang berpotensi sebagai salah satu hab untuk menghasilkan produk pertanian berkualiti tinggi untuk dipasarkan ke Qatar, Timur Tengah dan negara jiran yang lain.