'Lebih ramai murid dapat makanan berkhasiat percuma'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperluas kategori penerima program penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada murid miskin.

Naib Presidennya, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, sebelum ini bantuan hanya diberikan kepada murid golongan miskin tegar.

Menurutnya, dengan penambahbaikan yang dibuat itu membolehkan lebih ramai murid memerlukan mendapat makanan yang berkhasiat secara percuma.

"Kita ambil kesempatan ini untuk ucap terima kasih kepada KPM kerana luaskan lagi kategori penerima dan ia sangat baik.

"Kalau dahulu, peserta yang menikmati makanan percuma pada waktu pagi ini hanyalah murid miskin tegar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut Syed Anuar turut mencadangkan supaya pihak sekolah membuat pemantauan terhadap program itu supaya tiada peserta yang tercicir.

"Pihak sekolah perlu pastikan bahawa setiap murid yang menerima RMT itu datang ke sekolah lebih awal untuk makan terlebih dahulu sebelum memulakan sesi pembelajaran.

"Perkara ini penting kerana jika murid itu datang lambat mereka akan terlepas daripada menikmati makanan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak sekolah juga disaran mengadakan program taklimat khas dengan ibu bapa mengenai pelaksanaan program itu supaya ia sampai kepada sasaran.

Semalam, seramai 4,000 orang murid melibatkan 100 buah sekolah di seluruh negara terpilih sebagai peserta program penambahbaikan RMT.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, penambahbaikan kepada program sedia ada itu akan memanfaatkan murid-murid daripada golongan miskin.

Menurutnya, antara penambahbaikan yang dilakukan termasuklah mengubah waktu pelaksanaan.