13 Mei bukan lagi mengenang peristiwa berdarah

No Image Caption
A
A
A

BAGI rakyat Malaysia, tarikh 13 Mei 1969 diingati sebagai hari berlakunya peristiwa berdarah rusuhan kaum paling dahsyat di negara ini. Peristiwa itu perlu menjadi pengajaran betapa pentingnya masyarakat berbilang kaum di negara ini terus bersatu-padu dan hidup dalam harmoni.

Merak Jalanan harap pada tahun 2020 ini, rakyat Malaysia dapat meningkatkan semangat patriotisme dan bukannya dicemari dengan pelbagai anasir yang berniat jahat.

Justeru peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang diingati sebagai hari perpecahan kaum wajar dijadikan sebagai hari istimewa untuk memupuk perpaduan seperti mana kempen yang dicetuskan oleh bos Merak Jalanan, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub minggu lalu.

Beliau mengetengahkan apa yang dikenali sebagai gerakan ´Uninstall Kebencian, Reboot Malaysia Harmoni´ dalam usaha mengeratkan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Sebuah gerakan harmoni rakyat yang perlu bergerak untuk meniupkan semangat dan memulihkan sistem nilai, akal fikir dan akal budi negara bangsa berasaskan Rukun Negara.

Bagi Merak Jalanan, rakyat perlu kembali menjiwai prinsip Rukun Negara kerana pertelingkahan antara kaum berlaku kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak berpegang kepada Rukun Negara.

Konflik yang tercetus berpunca datripada isu yang remeh-temeh yang kemudian sengaja diperbesar-besarkan.

Lebih parah apabila emosi yang membuak-buak itu dilepaskan di media sosial dan kemudian diapi-apikan oleh netizen yang tidak bertanggungjawab menjadikannya sebagai sentimen perkauman.

Artikel Berkaitan:

Dengan merayakan #MalaysiaHarmoni pada tarikh tersebut, Merak Jalanan berasakan, ia mungkin mampu mengubah sejarah hitam 13 Mei kepada satu sejarah yang lebih positif untuk seluruh rakyat Malaysia.