Mulianya hatimu cikgu...

Perkongsian Mohd Fadli Salleh di Facebook mendapat perhatian netizen yang sentiasa menyokong usahanya membantu golongan memerlukan.
Perkongsian Mohd Fadli Salleh di Facebook mendapat perhatian netizen yang sentiasa menyokong usahanya membantu golongan memerlukan.
A
A
A

GOMBAK - Terkenal dengan aktiviti kebajikan, seorang guru tampil menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga Cina sempena perayaan Tahun Baru Cina tak lama lagi.

Menerusi perkongsian Mohd Fadli Salleh di Facebook, dia menyatakan tanpa mengira agama, bangsa, keluarga berkenaan perlu dibantu kerana mereka dari golongan memerlukan.

"Tidak kisah apa agama mereka, apa pun bangsa mereka. Mereka tengah susah, tengah tersepit, tengah memerlukan pertolongan dan bantuan.

"Dan selagi mampu, saya dan Dana Kita akan cuba membantu sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, agama dan bangsa," katanya.

Pertubuhan Kebajikan Dana Kita cuba membantu sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Foto: Mohd Fadli Salleh
Pertubuhan Kebajikan Dana Kita cuba membantu sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Foto: Mohd Fadli Salleh

Beliau yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Gombak (1) mengetahui kisah pilu keluarga itu daripada seorang kenalannya yang dikenali sebagai Kak Yati.

Keluarga tersebut yang mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah menumpang mandi di rumah Kak Yati kerana pihak berkaitan memotong bekalan air disebabkan tidak mampu membayar sewa rumah.

Bercerita lanjut, ketika turun padang melihat kehidupan keluarga berkenaan, beliau terkejut keadaan rumah dipenuhi barangan hingga membuatkan rumah itu kelihatan kotor.

Artikel Berkaitan:

"Si ayah tak boleh kerja berat, ada beberapa penyakit yang agak kronik. Hanya isterinya yang kerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel di Ampang.

"Anak-anak mereka masih bersekolah. Comel-comel semuanya. Datang bersalam dan kami borak macam ayam dan itik. Haha.

"Air rumah dipotong akibat tak mampu nak bayar sewa rumah. Tertunggak hingga beribu bahkan notis keluar rumah pun dah sampai," ujarnya.

Dedah Mohd Fadli, walaupun mereka miskin, pendidikan anak-anak tidak pernah diabaikan.

"Waktu sampai, dua anak mereka tiada di rumah. Pergi kelas tambahan percuma yang dianjurkan persatuan penduduk," katanya.

Menurutnya, setelah mengetahui serba sedikit latar belakang keluarga itu, beliau bersama kumpulan Dana Kita bersama Muhammad Irwan tampil membersihkan rumah tersebut.

"Setelah air disambung atas bantuan Kak Yati dan pengurusan PPR dengan syarat bayaran sewa rumah perlu berganda, akhirnya perkara itu telah selesai.

"Tiba masa nak buang semua sampah sarap yang ayah dia sayangi. Maka team Dana Kita turun padang dua minggu bergotong-royong bersihkan rumah 'uncle' ini.

"Tiga lori sampah diperlukan untuk bersihkan. Fuh, mujur ada team ni dan hari ini (semalam), rumah mereka telah ada bekalan air bersih. Bebas dari sampah sarap. Dinding kami cat semula. Tingkap dipasang langsir. Lantai diletak tikar. Bantal dan tilam baru juga diberi," jelasnya.

Keadaan rumah dipenuhi barangan. Foto: Mohd Fadli Salleh
Keadaan rumah dipenuhi barangan. Foto: Mohd Fadli Salleh

Meskipun terikat dengan komitmen kerja, beliau bersyukur kerana masih dapat meneruskan aktiviti kebajikan hasil sokongan keluarga, rakan dan pengikut di laman sosial yang turut menghulurkan sumbangan.

"Sempena Perayaan Tahun Baru Cina kali ini, keluarga mereka dapat menyambutnya dengan kemeriahan yang sangat berbeza. Yang sudah bertahun-tahun mereka tidak kecapi. Yang bertahun-tahun tiada siapa peduli.

"Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna." katanya.

Perkongsian menyentuh hati itu mencuri perhatian netizen hingga meraih 28,000 tanda suka, 2,100 komen dan 4,700 perkongsian sebagai tanda sokongan mereka kepada usaha murni dilakukan lelaki berkenaan.

Bagi sesiapa mahu menghulurkan sumbangan melalui Dana Kita, boleh disalurkan kepada akaun Maybank 564221646925 atas nama Pertubuhan Kebajikan Dana Kita.