Sivarraajh gagal cabar keputusan SPR

Datuk Sivarraajh Chandran
Datuk Sivarraajh Chandran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran gagal mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan beliau bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands 26 Januari ini.

Hakim Datuk Nordin Hassan menolak semakan kehakiman yang dikemukakan Sivarraajh selepas mendengar hujahan peguam Vasanthi Arumugan dan hujahan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan.

Dalam keputusannya, Nordin berkata, keputusan yang dibuat SPR yang melarangnya untuk mengundi dan bertanding bagi tempoh lima tahun adalah tidak melanggari Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sivarraajh dibenar cabar keputusan SPR]

[ARTIKEL BERKAITAN: Sivarraajh kemuka rayuan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands hilang kelayakan]

Nordin turut memerintahkan Sivarraajh membayar kos sebanyak RM5,000.

Isnin lalu bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu mendapat kebenaran memulakan tindakan mencabar keputusan SPR melalui suratnya pada 28 Disember 2018.

Artikel Berkaitan:

Dalam permohonan yang difailkan pada 31 Disember itu, Sivarraajh, 43, mengemukakan permohonan semakan kehakiman berhubung keputusan SPR selaku responden bahawa beliau tidak boleh didaftar dan disenaraikan sebagai pemilih atau pengundi dalam mana-mana pilihan raya dalam tempoh lima tahun bermula 13 Disember 2018.

Sehubungan itu beliau menuntut perintah bagi mendesak mahkamah membatalkan keseluruhan keputusan responden selain perintah deklarasi bahawa laporan Hakim Pilihanraya pada 14 Disember 2018 sebagai tidak sah kerana tidak mematuhi Seksyen 37(1)(a)(i) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada masa yang sama beliau menuntut deklarasi bahawa keputusan responden itu tidak setimpal, berlebihan dan merupakan penindasan terhadap dirinya.

Seterusnya beliau menuntut deklarasi bahawa keputusan tersebut tidak sah dan terbatal selain gantirugi am, gantirugi khas, kos dan relif lain yang sesuai.