Jadikan Malaysia aman makmur

Ernest Ong (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelanggan di restoran miliknya. Foto: ROSLI TALIB
Ernest Ong (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelanggan di restoran miliknya. Foto: ROSLI TALIB
A
A
A

Masyarakat di Malaysia perlu berfikiran logik dan matang apabila berdepan situasi melibatkan isu perkauman.

Pemilik Restoran Ali, Muthu and Ah Hock Kopitiam, Ernest Ong berkata, tindakan memberikan pandangan negatif hanya mendatangkan keburukan serta sia-sia.

“Saya sendiri pernah dikritik dengan komen yang agak sensitif daripada netizen kerana mengusahakan sebuah restoran yang menyediakan makanan untuk semua kaum.

“Saya mengasaskan sebuah restoran berkonsepkan muhibah. Sudah tentu saya memenuhi kriteria yang diperlukan. Perlu ke saya jelaskan kepada umum?” katanya kepada Sinar Harian di restorannya di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kempen Uninstall Kebencian: Reboot #MalaysiaHarmoni yang dicetuskan Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ernest mengakui mengagumi kesungguhan Sinar Harian yang mengambil langkah menganjurkan kempen bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Saya berminat dengan setiap perkara yang boleh membawa kepada perpaduan dan keharmonian rakyat.

“Mesej keharmonian, muhibah dan bertolak ansur telah dipraktikkan di Restoran Ali, Muthu and Ah Hock Kopitiam sejak tahun 2012 lagi.

Artikel Berkaitan:

“Saya sentiasa mengingatkan pekerja untuk layan semua pelanggan dengan sama rata dan raikan semua. Saya mahu semua pelanggan tahu kami berniaga bukan setakat mahu untung tetapi mengambil peranan to make Malaysia a better place,” katanya.

ERNEST ONG. Foto: ROSLI TALIB
ERNEST ONG. Foto: ROSLI TALIB

Menurutnya, semua makanan yang dihidangkan di restoran itu mengekalkan keaslian sesuai dengan tema 'Biarlah Real'.

“Tema 'Biarlah Real' maknanya kita mahu buat ini Malaysia yang sebenar. Menu kita pun tak banyak tapi kami hidangkan makanan yang asli seperti nasi lemak, mi rebus atau teh ais.

“Semua pelanggan yang datang memang daripada pelbagai kaum. Ada 70 peratus Melayu, 20 peratus kaum lain. Bukan 100 peratus Melayu. Saya mahu apabila pelanggan datang ke restoran ini mereka selesa dan they feel Malaysian,” katanya.

Peniaga itu turut berkongsi pengalaman manisnya mempunyai rakan pelbagai kaum.

“Saya pernah buat program tolong mangsa banjir. Ketika kami bungkus barang, ada sekumpulan anak muda berbangsa Melayu datang bagi beras untuk minta kami agihkan kepada mangsa banjir.

“Pada saya, pengalaman ini sangat manis. Semua kaum bergabung untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.