'Saya tak akan buat pusingan U'

Megat D Shahriman
Megat D Shahriman
A
A
A

"SAYA tidak akan buat pusingan U setelah lepaskan jawatan."

Itu janji daripada Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berhubung kesediaannya untuk melepaskan jawatan yang disandangnya itu demi menumpukan perhatian kepada Majlis Paralimpik (MPM).

Megat D Shahriman berkata, keputusan berkenaan dibuat berikutan tindakan ahli gabungan badan induk sukan air negara itu yang mengemukakan surat hilang kepercayaan terhadapnya selain dikatakan menjadi 'dalang' kemelut yang berlaku dalam MASCA menjelang Sukan SEA Filipina 2019 lalu.

Bagaimanapun menurutnya, janji berkenaan hanya akan ditunaikan setelah menyelesaikan beberapa isu pentadbiran MASCA.

"Saya perlukan sedikit masa kerana perlu menyelesaikan beberapa isu pentadbiran. Mengenai janji saya untuk melepaskan jawatan, bila sampai masanya saya akan tentukan. Apa yang pasti saya tidak akan membuat pusingan U selepas buat keputusan.

"Saya minta Timbalan Presiden MASCA (Datuk Michael Wong) supaya bersabar. Sampai masanya saya akan lepaskan jawatan, tapi saya perlu pastikan peralihan kuasa di MASCA dilaksanakan dengan baik.

"Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana pada akhirnya ahli gabungan yang akan menentukan siapa yang layak,” katanya pada sidang media hari ini bagi menjelaskan beberapa isu berbangkit mengenai persatuan induk sukan air negara itu.

Terdahulu, Megat D Shahriman menegaskan tidak mengetahui punca sebenar surat hilang kepercayaan yang mengandungi dakwaan dirinya menjadikan akaun MASCA sebagai akaun peribadi diberikan kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Malah dirinya turut didakwa menjadi dalang yang menyumbang kepada kemelut MASCA menjelang Sukan SEA Filipina lalu.

"Saya menafikan dakwaan itu dan mendedahkan 95 peratus daripada jumlah dana kewangan MASCA adalah melalui saya sendiri kerana akaun MASCA bukan akaun peribadi.

"Tapi saya pasti saya seorang sahaja individu yang letak wang (dalam akaun) untuk pembangunan sukan negara, kalau ada yang lain sila tampil ke depan. Akaun MASCA sekarang tengah diaudit dan ia akan dikongsi dengan semua orang.

"Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pernah masukkan duit sebanyak empat kali. Semua ada rekod dan saya difahamkan 95 peratus adalah daripada saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Megat D Shahriman berkata, kegagalan pasukan kanu dan perahu naga pada temasya Sukan SEA Manila 2019 lalu berkemungkinan besar berpunca akibat penghantaran pasukan yang tidak mendapat kelulusan pihak MASCA.

Katanya, pasukan yang dihantar pada temasya dwi tahunan itu adalah berdasarkan kepada senarai pasukan yang dicadangkan oleh beberapa Exco MASCA diketuai timbalan presidennya dan diluluskan oleh Panel Pemilihan Sukan SEA.

"Biarpun muncul kontinjen terbesar dengan 37 atlet termasuk pegawai kali ini, pasukan negara gagal untuk meraih sebarang pingat. Tetapi, selaku Presiden MASCA saya akur dengan kegagalan tersebut.

"Namun tidak adil hanya saya berseorangan menggalas tanggungjawab tersebut kerana saya tidak tahu menahu dalam soal pemilihan atlet ke Sukan SEA 2019, sebaliknya ada beberapa individu dalam persatuan yang membelakangi saya dalam membuat keputusan dan mereka ini antara individu yang membuat undi tidak percaya kepada saya.

"Sekali lagi, ingin saya tegaskan bahawa pasukan kanu dan perahu naga yang dihantar mewakili Malaysia bukanlah seperti yang diluluskan oleh saya selaku Presiden MASCA, tetapi sebaliknya ia mengikut senarai nama yang dicadangkan beberapa Exco MASCA diketuai Timbalan Presiden MASCA dan peliknya turut diluluskan oleh Panel Pemilihan Sukan SEA tanpa mengambil kira merit yang kukuh," katanya.