Sedia hadir ke mahkamah

No Image Caption
A
A
A
SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad bersedia untuk didakwa dan akan hadir ke mahkamah.

Beliau berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, beliau menolak tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengeluarkan notis kompaun bagi mendapatkan semula dana yang diarah dikembalikan atas dakwaan diambil dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ketika pegawai SPRM hantar notis kompaun, saya maklumkan yang saya sudah berusia 70 tahun dan telah mempertahankan undang-undang, malah saya juga yang menggubal undang-undang. Jadi saya tidak akan mengaku salah.

"Saya tolak notis kompaun itu dan bila SPRM panggil saya untuk kali ketiga hari ini, saya masih tetap dengan pendirian dan tidak akan ubah kenyataan saya.

"Disebabkan itu saya akan dituduh di mahkamah kerana didakwa menerima wang hasil aktiviti pengubahan wang haram dan saya akan hadir esok," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, Shahrir turut memuji tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang disifatkan menggunakan pendekatan beradab dalam menyantuni individu yang akan dituduh di mahkamah.

"Saya berterima kasih dengan Puan Latheefa kerana dia tidak lagi menyuruh kita pakai baju oren untuk berarak ke mahkamah dan tiada lagi reman semalam. Ini tindakan 'gentleman', terus jumpa di mahkamah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Maslan, Shahrir Samad didakwa esok

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak menerima cek atau wang yang berkaitan seperti mana dakwaan SPRM.
Artikel Berkaitan:


Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, beliau turut menandatangani pengakuan menafikan dakwaan tersebut kepada polis Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) dan pegawai penyiasat SPRM.

"Namun mereka tetap akan dakwa saya juga. Saya akan ke Mahkamah Kuala Lumpur esok jam 8.15 pagi.

"Lawan terus lawan. Lawan sampai menang. Radu tatap radu. Radu sampai rata!," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Shahrir ditahan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 11.22 pagi hari ini ketika hadir memberi keterangan bagi melengkapkan proses siasatan akhir, manakala Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ditahan lebih awal pada jam 10.10 pagi bagi tujuan sama.