Didenda gara-gara pindahkan kambing dengan trak pikap

Trak pikap yang digunakan untuk memindahkan kambing dan biri-biri tanpa kebenaran.
Trak pikap yang digunakan untuk memindahkan kambing dan biri-biri tanpa kebenaran.
A
A
A

BESUT - Padah memindahkan biri-biri dan kambing dengan trak pikap tanpa kebenaran, dua lelaki termasuk seorang warga Thailand masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Besut hari ini.

Keputusan itu dibuat Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat setelah kedua-dua tertuduh mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, Bueraheng, 33, yang juga warga Thailand dan Tuan Mohd Saiful Tuan Din, 32, didakwa melakukan kesalahan dengan memindahkan 15 ekor biri-biri dan tujuh ekor kambing tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Veterinar Negeri Terengganu.

Kesalahan itu dilakukan pada 9 September tahun lalu, jam 8.20 pagi di tepi Jalan Tembila, Besut dengan menggunakan kenderaan trak pikap bernombor pendaftaran Thailand yang mana kenderaan itu ditutupi dengan kanvas di bahagian belakang bagi mengaburi pihak berkuasa veterinar yang menjalankan penguatkuasaan di lapangan.

Salah seekor kambing juga disahkan berpenyakit kuku dan mulut.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Para (i)(b) Perintah di bawah Sub Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 (Warta Kerajaan Negeri Terengganu Tr.P.U.10. Perintah Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Penyakit Hawa Berdarah) dan boleh dihukum di bawah Sub Seksyen 36(7) Akta Binatang 1953 (Pindaan2013)[AktaA1452].

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM15,000 dan berdepan hukuman penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, Mohd Shahihan Mohd Tahar.

Artikel Berkaitan: