Lepas gelaran diraja, Harry zahirkan kesedihan mendalam

Harry ketika berucap pada majlis amal Sentebale di London semalam.
Harry ketika berucap pada majlis amal Sentebale di London semalam.
A
A
A

LONDON - Duke of Sussex, Putera Harry menzahirkan kesedihan mendalam apabila terpaksa melepaskan gelaran diraja selepas mencapai persetujuan dengan nendanya, Ratu Elizabeth II yang menyaksikan beliau dan isteri, Duches of Sussex, Meghan membina kehidupan baharu di luar monarki Britain.

Dalam ucapannya pada majlis amal Sentebale di London semalam, Harry yang kelihatan begitu sedih berkata, keputusan akhir berhubung krisis itu bukan sesuatu yang diingini.

Katanya, beliau juga telah memikirkan semasak-masaknya keputusan tersebut setelah mempertimbangkan beberapa perkara.

"Saya amat sedih. Harapan kami ialah terus berkhidmat untuk baginda Ratu, kerajaan Komanwel dan tentera tanpa sebarang dana awam. Malangnya ia tidak mungkin berlaku.

“Harap anda semua faham apa yang berlaku, bahawa saya akan berundur dari semua yang dimiliki dan memulakan langkah baharu untuk satu kehidupan lebih aman pada masa akan datang,” kata pewaris keenam takhta Diraja Britain itu.

Semalam, Istana Buckhingham dan Ratu Elizabeth mengumumkan bahawa Harry dan Meghan tidak lagi akan menggunakan gelaran diraja atau menerima sebarang dana awam sebagai sebahagian daripada perjanjian bagi mengakhiri krisis yang dicetuskan pasangan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Putera Harry, Meghan lepaskan gelaran diraja

Di bawah perjanjian itu juga, Harry dan Meghan tidak akan lagi menggunakan gelaran ‘Yang Mulia’, nasib sama seperti ibunya, mendiang Puteri Diana selepas bercerai dengan Putera Charles pada 1996.

Artikel Berkaitan:

Harry dan Meghan juga perlu membayar balik £2.4 juta (RM12.5 juta) wang pembayar cukai yang digunakan bagi mengubah suai kediaman mereka, Frogmore Cottage, berhampiran Istana Windsor.

Pasangan terbabit sebelum ini membuat pengumuman mahu menarik diri daripada menjalankan tugas rasmi serta meluangkan lebih banyak masa di Amerika Utara.

Pengumuman itu sekali gus mengundang pelbagai ulasan pemerhati dan menyamakannya seperti krisis membabitkan Raja Edward VIII yang turun takhta pada 1936 bagi mengahwini wanita rakyat Amerika Syarikat, Wallis Simpson. - Agensi