906 murid di Selangor terlibat RMT fasa pertama

Azmi (berdiri dari kanan) beramah mesra bersama murid yang menikmati sarapan pagi dalam program penambahbaikan RMT di SK Jeram Batu 20, di sini, hari ini.
Azmi (berdiri dari kanan) beramah mesra bersama murid yang menikmati sarapan pagi dalam program penambahbaikan RMT di SK Jeram Batu 20, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seramai 906 murid daripada enam sekolah di negeri ini menikmati program penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) fasa pertama 2020 bermula hari ini.

Timbalan Pengarah Pengurusan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Azmi Misrun berkata, enam sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Batu 20, Kuala Selangor, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Kuan, Sabak Bernam dan SJKC Tanjung Sepat, Kuala Langat.

"Tiga lagi sekolah ialah SK Bukit Lanjan, Petaling Utama, SK Tun Abdul Razak, Hulu Selangor dan SK Bandar Rinching, Sepang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di SK Jeram Batu 20 di sini hari ini.

Azmi berkata, pelaksanaan program itu menggunakan 20 menu makanan berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang.

"Pada hari ini, misalnya di SK Jeram Batu 20 kita menyediakan menu sarapan nasi lemak.

"Kita ingin memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat, lebih bertenaga semasa sesi pembelajaran serta merangsang proses tumbesaran seimbang," katanya.

Beliau memberitahu, waktu pelaksanaan RMT bagi sesi pagi adalah antara jam 7 pagi hingga jam 7.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Siapa yang sampai ke sekolah, mereka terus bersarapan dan setelah selesai mereka boleh masuk ke kelas masing-masing," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Mohd Azuan Mohd Nawawi berkata pemilihan SK Jeram Batu 20 berdasarkan kriteria ibu bapa dalam kalangan kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40).

"Perlaksanaan di SK Jeram Batu 20 ini merupakan projek perintis pertama di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor.

"Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid sekolah, tetapi membantu ibu bapa mengurangkan perbelanjaan sekolah anak-anak," katanya.