PGA bongkar stor simpan arak seludup

Arak yang dirampas dalam operasi di sebuah premis di Jalan Mega Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusajaya, Johor semalam.
Arak yang dirampas dalam operasi di sebuah premis di Jalan Mega Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusajaya, Johor semalam.
A
A
A

NUSAJAYA - Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkar kegiatan sebuah premis yang dipercayai menjadi stor simpanan arak seludup di Jalan Mega Taman Perindustrian Nusa Cemerlang di sini semalam.

Operasi kira-kira jam 11.40 malam itu bertindak hasil maklumat dan risikan sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Johor bersama Task Force Briged Tengah PGA.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Ja'afar Kaimi berkata, serbuan berjaya membawa tangkapan empat lelaki warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

"Semakan mendapati suspek terdiri daripada seorang warga Bangladesh dan tiga Pakistan.

"Ketika serbuan, kesemua mereka sedang memunggah kotak-kotak yang berisi disyaki arak seludup," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Premis di Jalan Mega Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusajaya, Johor yang diserbu PGA semalam.
Premis di Jalan Mega Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusajaya, Johor yang diserbu PGA semalam.

Beliau berkata, susulan itu, sebanyak 15,820 botol arak seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM344,000 telah dirampas.

Katanya, siasatan lanjut premis tersebut disyaki dijadikan tempat penyimpanan arak seludup untuk pasaran sekitar Johor.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah kesalahan Seksyen 135 Akta Kastam 1967," katanya.