159 murid nikmati sarapan percuma di Terengganu

Salim (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus selepas meninjau hari pertama pelaksanaan penambahabaikan program RMT di SK Jerong, di sini hari ini.
Salim (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus selepas meninjau hari pertama pelaksanaan penambahabaikan program RMT di SK Jerong, di sini hari ini.
A
A
A

MARANG – Seramai 159 murid sekolah rendah di Terengganu menikmati sarapan percuma bermula hari ini melalui penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Pengarah Pelajaran Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, murid itu dari enam sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak, SK Binjai Kertas, SK Jerong, SK Pengkalan Berangan, SK Chalok dan SJKC Jabor.

Menurutnya, penambahbaikan program RMT memfokuskan kepada murid yang tergolong dalam keluarga kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka menikmati hidangan pagi berkhasiat.

“Dalam penambahbaikan ini, kelayakan penerima diluaskan kepada pendapatan isi rumah ibu bapa sebanyak RM960 berbanding RM604 sebelum ini,” katanya selepas meninjau hari pertama program itu di SK Jerong, di sini hari ini.

Salim berkata, penerima bantuan RMT akan dihidangkan dengan 20 menu makanan berkhasiat yang telah ditetapkan seperti nasi ayam, nasi minyak, nasi goreng dengan kadar RM2.50 sehari bermula jam 7 hingga 7.30 pagi.

“Kita akan memastikan pelaksanaan penambahbaikan program RMT ini akan mencapai objektif dan matlamat ditetapkan.

“Ia termasuk memastikan pelaksanaannya mengikut garis panduan ditetapkan dan jaminan kualiti makanan dengan penglibatan pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Pegawai Sains Pemakanan yang ditempatkan di setiap daerah oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya.

Artikel Berkaitan: