Seri Tahfiz Al Banna perlu dana RM500,000

Seri Tahfiz Al Banna perlukan sumbangan kira-kira RM500,000 selepas bangunan pejabat dan kelas sekolah itu musnah dalam kebakaran.
Seri Tahfiz Al Banna perlukan sumbangan kira-kira RM500,000 selepas bangunan pejabat dan kelas sekolah itu musnah dalam kebakaran.
A
A
A

MARAN - Sekolah Rendah Islam (Seri) Tahfiz Al Banna di Felda Melati Jengka 11, di sini memerlukan sumbangan kira-kira RM500,000 selepas bangunan pejabat dan kelas sekolah itu musnah dalam kebakaran kelmarin.

Timbalan pengerusi sekolah, Kamaruzaman Usop berkata, sumbangan itu bertujuan untuk membeli semula peralatan yang musnah antaranya komputer, sistem pembesar suara, projektor dan barangan pejabat serta memperbaiki semula kerosakan di bangunan pejabat dan kelas.

Menurutnya, buat masa ini, sesi pembelajaran hanya kembali disambung bermula esok.

"Sekolah ini mempunyai 173 murid dengan 18 daripadanya tinggal di asrama. Sesi pengajian selepas ini hanya membabitkan kelas pengajian al-Quran di bangunan baharu bersebelahan dan dipendekkan dari jam 7.15 pagi hingga 1 tengah hari berbanding hingga 4.30 petang sebelum ini.

"Bangunan baharu itu pun berada dalam keadaan serba tidak lengkap, belum ada bekalan elektrik dan peralatan serta masih memerlukan sumbangan untuk kegunaan sekolah," katanya pada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya ada menerima sumbangan pelbagai pihak dan orang ramai yang prihatin.

"Kita telah menerima sumbangan kira-kira RM40,000 dan ia akan digunakan untuk membeli keperluan sewajarnya," jelasnya.

Mengulas kejadian kebakaran itu, Kamaruzaman bagaimanapun bersyukur kerana ia tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan kepada warga sekolah.

Artikel Berkaitan:

Bagi mereka yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (556141019726) atas nama Seri Tahfiz Al Banna atau hubungi Kamaruzaman di talian 014-8071036.