707 murid di Johor dapat sarapan percuma

Azman ( tiga dari kanan, duduk) bersama murid SK Pekan Layang-Layang pada program penambahbaikan RMT di sini hari ini.
Azman ( tiga dari kanan, duduk) bersama murid SK Pekan Layang-Layang pada program penambahbaikan RMT di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Seramai 707 murid di enam sekolah rendah di negeri ini mula menikmati sajian program penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) fasa pertama bermula hari ini.

Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan berkata, enam sekolah tersebut ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Batu Pahat membabitkan 19 murid, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sulong, Batu Pahat (174), SK Pekan Layang-Layang, Kluang (125), SK Rengit, Batu Pahat (151), SK Seri Jong, Muar (104) dan SK Tengku Mahmood Iskandar 1, Pontian (134).

“Kementerian merancang memperluaskan program berkenaan dengan menyasarkan 20,792 murid membabitkan kos sekitar RM9 juta," katanya ketika melakukan tinjauan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Layang-Layang di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Md Said Md Daimon dan Guru Besar SK Pekan Layang-Layang, Ya’acob Salleh.

Sementara itu Exco Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia negeri, Aminolhuda Hassan berharap jumlah sekolah terpilih bagi program RMT di negeri ini akan ditambah.

Bagaimanapun, perkara tersebut bergantung kepada pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Di Johor, kita mempunyai 11 PPD (Pejabat Pendidikan Daerah). Program ini diharap dapat diperluaskan dengan lebih banyak sekolah terpilih di negeri ini.

"Sasarannya setiap daerah sekurang-kurangnya dua sekolah terpilih untuk program ini selepas fasa pertama dimulakan pada 20 Januari ini," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Kempen Pencegahan Influenza di Sekolah Kebangsaan SK Taman Damai Jaya di sini hari ini.

Artikel Berkaitan: