Pengerusi agensi KPM didakwa terlibat pengubahan wang haram

Abdul Rahman (tengah) ketika dibawa keluar dari kamar perbicaraan selepas pertuduhan berkenaan.
Abdul Rahman (tengah) ketika dibawa keluar dari kamar perbicaraan selepas pertuduhan berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pegawai kanan di sebuah syarikat milik penuh Kementerian Pendidikan (KPM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram pada Disember 2018 lalu.

Tertuduh yang merupakan Pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS), Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik saja pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah RM150,000 daripada akaun bank Syarikat Mudra Resources Sdn Bhd ke dalam akaun miliknya yang mana wang terbabit merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad Cawangan Jalan Kebun Teh, Larkin pada 24 Disember 2018 lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) serta boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Ia boleh memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti atau peralatan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh selain pasport serta dokumen perjalanan miliknya diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Abdul Rahman dalam rayuannya melalui peguam, Datuk Salehuddin Saidin memohon jaminan yang munasabah dan pasport anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah dengan alasan tertuduh merupakan ahli perniagaan yang sering melakukan urusan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh tidak perlu diserahkan kepada mahkamah. Kes akan disebut semula pada 2 Februari depan.

Untuk rekod EMGS adalah entiti di bawah KPM yang ditugaskan untuk mempromosikan penyedia pendidikan Malaysia ke pasaran dunia.