PRK Kimanis bukti parti lokal juga boleh ditolak

Suasana kempen PRK Kimanis. -Foto Bernama
Suasana kempen PRK Kimanis. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Kecil (PRK) Kimanis membuktikan parti lokal juga boleh ditolak sekiranya gabungan di peringkat nasional bermasalah.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Sarawak, Syamsul Bahrie menyifatkan, kemenangan BN juga boleh berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

“Sebelum ini, sering kali sentimen ‘parti Malaya’ atau ‘orang luar’ menjadi mainan ketika pilihan raya sungguh pun ia adalah hak rakyat untuk memilih mana-mana parti,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Sehubungan itu, Pemuda Pas Sarawak akan terus komited bekerja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sasaran bagi memberi keyakinan kepada rakyat Sarawak.

Syamsul turut mendakwa, Pakatan Harapan (PH) sudah terbukti ditolak rakyat dan mustahil untuk mereka mengembalikan keyakinan tersebut.

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula diharap tidak terlalu yakin sehingga mereka lupa lambang mereka kurang dikenali dan agak sukar untuk mendidik pengundi khususnya di pedalaman Sarawak.

“Pengundi Sarawak dijangka bakal menerima pilihan lebih daripada tiga penjuru di setiap DUN pada PRN akan datang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kimanis kekal milik BN, majoriti lebih besar

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyifatkan, kemenangan BN itu juga menunjukkan rakyat Sarawak beruntung kerana boleh menilai gabungan mana yang boleh dipercayai untuk berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, kekuatan Muafakat Nasional dengan Pas sebagai tunjangnya sudah pasti dapat mengubah landskap politik Sarawak, sekali gus membuka peluang kepada parti-parti lokal di Sarawak untuk bersama termasuk GPS.

“Maka GPS sepatutnya tidak terlalu merasa megah bersendirian sehingga menolak sebarang kerjasama. Ini penting kerana GPS atau mana-mana parti politik memerlukan sokongan rakyat.

“Rakyat memberi signal positif kepada BN melalui siri-siri kemenangan dalam pilihan raya kecil sebelum ini,” katanya.