138 murid disyaki dijangkiti influenza di JB

Aminolhuda meninjau sesi pembelajaran di salah sebuah kelas di SK Taman Damai Jaya di sini hari ini.
Aminolhuda meninjau sesi pembelajaran di salah sebuah kelas di SK Taman Damai Jaya di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Seramai kira-kira 138 murid di daerah ini dilaporkan menghidap demam dengan gejala disyaki influenza setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia negeri, Aminolhuda Hassan berkata majoriti murid terbabit mengalami gejala demam dan dinasihatkan untuk tidak datang ke sekolah bagi mengurangkan risiko menjangkiti pelajar lain.

"Murid-murid ini telah dinasihatkan untuk tidak datang ke sekolah sehingga mereka pulih sepenuhnya.

"Influenza ini mudah menjangkiti murid sekolah. Oleh itu tindakan pencegahan perlu diambil dan ibu bapa serta guru tidak perlu panik," katanya selepas Kempen Pencegahan Influenza A bagi Sekolah- sekolah di daerah Johor Bahru di Sekolah Kebangsaan ( SK) Taman Damai Jaya Skudai.

Aminolhuda ( dua dari kiri) menyerahkan kain rentang kempen pencegahan Influenza kepada sekolah- sekolah Johor Bahru di SK Taman Damai Jaya.
Aminolhuda ( dua dari kiri) menyerahkan kain rentang kempen pencegahan Influenza kepada sekolah- sekolah Johor Bahru di SK Taman Damai Jaya.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru Ishak Mahbob, Pegawai Kesihatan Daerah, Norashikin Mahadan dan Guru Besar SK Taman Damai Jaya Sharifah Madinah Wan Ahmad.

Aminolhuda juga menegaskan wabak influenza di negeri ini masih terkawal.

"Setakat minggu lepas, seramai 9 kanak-kanak disahkan positif influenza, kemungkinan mereka sudah pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan di rumah," katanya.

Menyentuh tentang kempen pencegahan influenza katanya daerah Johor Bahru yang pertama mengadakan kempen tersebut memandangkan daerah terbabit mempunyai bilangan sekolah tertinggi di negeri ini iaitu sebanyak 97 buah sekolah rendah dan menengah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kempen ini diharap mampu meningkatkan tahap kesedaran tentang langkah mengelak influenza termasuk dengan mengutamakan kebersihan diri dan kawasan persekitaran di sekolah.