Graduan terokai bidang keusahawanan

Haliza
Haliza
A
A
A

PETALING JAYA - Internet membuka banyak peluang perniagaan kepada usahawan tanpa mengira skala, bajet dan populariti hingga menarik ramai graduan muda menceburi bidang keusahawanan yang semakin meningkat di Malaysia.

Dekan Fakulti Perniagaan dan Teknologi Unitar International University (Unitar), Penolong Pensyarah, Dr Haliza Mohd berkata, ia bagaimanapun berbeza dengan kepercayaan umum bahawa graduan memilih keusahawanan kerana tidak mahu terperangkap dengan pekerjaan konvensional.

“Kini sumber terhad dan kadar pengangguran tinggi. Pada masa yang sama, generasi muda terdedah kepada perkhidmatan seperti Grab dan Airbnb yang bertentangan dengan cara tradisional menjalankan perniagaan.

“Faktor-faktor ini secara tidak langsung menjadi pemangkin dalam memotivasikan generasi masa kini untuk meneroka saluran baharu bagi menjana pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, trend menjadi usahawan berpunca daripada keinginan untuk bergerak lebih cepat dari segi kepuasan kerja dan imbuhan tahunan.

Menurutnya, hakikat bahawa keusahawanan dianggap jawatan yang diterima secara meluas kini mengubah persepsi masyarakat terhadapnya.

“Kajian Pengesanan Pasca Siswazah 2018 oleh Kementerian Pendidikan mendapati graduan institusi pengajian tinggi mewakili sebanyak 55 peratus daripada golongan penganggur.

“Kajian Hanover pada 2019 bertajuk Trend Dalam Pendidikan Tinggi pula melaporkan sebanyak 89.4 peratus siswazah baharu menganggap diri mereka mempunyai profesionalisme tinggi dan etika kerja yang baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Namun, katanya, hanya 42.5 peratus majikan berpendapat sedemikian dan ada majikan berasakan hanya 50 peratus rekrut baharu memenuhi keperluan kemahiran yang diperlukan untuk peranan mereka.

“Statistik ini menimbulkan persoalan, adakah graduan Malaysia benar-benar bersedia untuk meneruskan kerjaya dalam bidang keusahawanan dan adakah mereka mempunyai kemahiran yang diperlukan.

“Saya bersetuju walaupun terdapat lebih banyak peluang untuk graduan menjadi usahawan, orang ramai perlu bersedia untuknya,” katanya.