X

Kindly register in order to view this article
!

Jemaah haji jangan sembunyi penyakit

jemaah haji
Keupayaan fizikal dan kesihatan yang baik amat penting bagi menentukan seseorang itu mempunyai istitho’ah atau berkemampuan untuk menunaikan ibadat haji. Gambar kecil: Dr Azah
A
A

SHAH ALAM - Keupayaan fizikal dan kesihatan amat penting bagi menentukan seseorang itu mempunyai istitho’ah atau berkemampuan untuk menunaikan ibadat haji.

Pakar perubatan keluarga, Dr Azah Abdul Samad berkata, hampir kesemua rukun dan wajib haji melibatkan aktiviti fizikal kecuali niat.

Menurutnya, istitho’ah secara asasnya mempunyai pengertian yang sangat meluas merangkumi kewangan yang mencukupi, kenderaan, keselamatan dalam perjalanan, kebenaran pihak Arab Saudi dari segi visa atau kuota, mahram dan kesihatan yang baik.

“Ibadat haji yang khusus seperti tawaf tujuh keliling terutama pada waktu puncak dengan kesesakan seramai tiga juta jemaah haji, berulang-alik semasa sai dan berjalan dari Mina ke jamrah sejauh 7 kilometer selama empat hari berturut-turut untuk ibadat melontar memerlukan keupayaan fizikal serta kesihatan yang baik.

“Kesihatan mental juga penting dalam ibadat haji. Sekiranya seseorang telah nyanyuk atau mengalami dementia, mengalami gangguan mental dan tidak menerima rawatan, maka mereka tidak lagi memenuhi syarat wajib haji iaitu sempurna akal,” katanya ketika menjadi tetamu undangan di konti IKIM.FM di sini pada Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Dr Azah yang merupakan petugas perubatan Tabung Haji berkata, Rukun Islam kelima itu adalah ibadat yang diwajibkan ke atas umat Islam yang telah cukup syarat wajib iaitu berkemampuan dari segi kesihatan dan anggota tubuh badan serta persediaan kewangan.

Namun, katanya, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-36 yang bersidang pada November tahun lalu memutuskan beberapa resolusi, antaranya istitho’ah sama ada yang berkaitan dengan jasmani atau kesihatan adalah salah satu syarat wajib haji dan tidak wajib haji serta umrah bagi mereka yang berpenyakit kronik dan tiada harapan sembuh.

“Justeru, bakal jemaah haji perlu jujur. Hanya mereka yang tahu dan boleh mengukur kemampuan diri untuk menunaikan ibadat haji.

“Kadangkala mereka sembunyikan penyakit mereka semasa melakukan pemeriksaan kesihatan agar mendapat kelulusan doktor.

“Kita tidak mahu mereka datang untuk mencari pahala dan mendapat keredaan Ilahi tetapi berlaku sebaliknya apabila menyusahkan orang sekeliling serta menimbulkan kerisauan kepada keluarga di tanah air,” katanya.

Sementara itu, Dr Azah turut berpesan kepada jemaah haji wanita bahawa selain mempunyai mahram, aspek kesihatan juga termasuk dalam berkemampuan di mana wanita hamil tidak dibenarkan menunaikan haji.

“Wanita hamil disyorkan menangguhkan haji kerana mereka mempunyai daya tahan yang rendah menyebabkan lebih mudah dijangkiti penyakit.

“Keadaan yang bersesak-sesak dan aktiviti ibadat haji itu sendiri boleh mendatangkan keletihan fizikal kerana berjalan kaki dalam jarak jauh,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus