Perlukah bersedekah kepada orang kaya?

HARUS memberikan sedekah kepada orang kaya. Begitu pun, keutamaan dalam bersedekah adalah diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan.
HARUS memberikan sedekah kepada orang kaya. Begitu pun, keutamaan dalam bersedekah adalah diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan.
A
A
A
SEDEKAH merupakan antara amalan yang terpuji dalam Islam. Banyak ganjaran yang bakal diperoleh jika kita melaziminya dalam kehidupan seharian.

Menjadi kebiasaan kita untuk memberikan sedekah kepada golongan yang memerlukan seperti orang fakir dan miskin.

Jika mengikut logik akal, sudah tentu golongan itu perlu dibantu kerana mereka hidup dalam kesempitan, bukan?

Namun, adakah salah jika kita mahu memberikan sedekah kepada orang yang kaya?

Jika merujuk kembali kepada zakat yang disebut sebagai sedekah yang wajib, ia mempunyai asnafnya tersendiri.

Demikian juga dengan sedekah-sedekah sunat yang lain, ia perlu disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Firman ALLAH SWT: "Dan sekiranya kamu menyembunyikan (sedekah) dan memberikan sedekah kepada golongan fakir, maka itu adalah lebih baik buat kamu serta akan menghapuskan dosa-dosa kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 271)

Meskipun begitu, dari sudut fikah, memang terdapat perbahasan tentang hukum bersedekah kepada orang yang kaya.

Menurut Imam al-Nawawi: "Halal (dibolehkan) untuk bersedekah sunat kepada golongan kaya tanpa khilaf (akan keharusannya di sisi para ulama). Maka, boleh untuk memberikan (sedekah) kepada golongan kaya dan diberi pahala kepada yang memberi sedekah tersebut. Akan tetapi (sedekah yang diberikan kepada) golongan yang memerlukan adalah lebih afdal. Para ashab kami berkata: "Dan disunatkan bagi orang yang kaya membersihkan diri (daripada mengambilnya) serta dimakruhkan untuk berusaha ke arah mendapatkannya."(Rujuk Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab Al-Nawawi (6/39)
Artikel Berkaitan:


Daripada nukilan sarjana Islam berkenaan, jelas bahawa hukum bersedekah kepada orang kaya adalah harus.

Ia berdasarkan kaedah fikah yang menyebut bahawa hukum asal bagi setiap perkara adalah harus selagi mana tidak terdapat dalil yang melarangnya.

Pun begitu, keutamaan dalam bersedekah adalah diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan.

Sebenarnya, ada keharusan memberikan sedekah kepada orang kaya. Tujuannya supaya mereka mengambil pengajaran dan kesedaran terhadap kepentingan amalan bersedekah.

Lantas, dengan perbuatan kita tadi akan menjentik hati mereka untuk mempelbanyakkan sedekah melalui harta yang dikurniakan ALLAH kepada mereka.

Apa jua tujuan kita bersedekah, niatlah kerana ALLAH SWT.

Semoga segala amal jariah yang kita lakukan di dunia yang fana ini akan diterima oleh-NYA dan diberikati-NYA.

Semoga dengan melazimi amalan itu, rezeki kita akan diperluaskan dan kehidupan kita akan terhindar daripada bala bencana.

(Sumber: Al-Kafi #1397: Hukum Memberi Sedekah kepada Orang Kaya, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)