KGMMB minta KPM kaji semula pengambilan calon IPGM sesi 2020

Jasni Md Kechik
Jasni Md Kechik
A
A
A

TEMERLOH - Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) meminta supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula pengambilan calon Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi sesi pengambilan tahun ini.

Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, tindakan menjadikan IPGM tempat pengasingan kaum atau menjurus kepada sekolah vernakular sebelum bakal guru itu di tempatkan ke sekolah-sekolah apabila tamat pengajian lima tahun kelak dilihat satu tindakan kurang sesuai dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, setelah meneliti tawaran dan pengambilan bakal calon IPGM melalui laman sesawang 2020 (http://upu.moe.gov.my/web/), terdapat program yang tidak perlu di asingkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebaliknya ia calon-calon pelbagai kaum itu sewajarnya boleh disatukan untuk mengikuti program pengajian.

"Bagi program Bahasa Melayu perlu mengambil calon guru yang benar layak serta bermahiran tinggi terutama penutur jati bagi memantapkan pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di SRJKC dan SRJKT.

"Pengasingan program itu bakal menjarakkan lagi penyatuan kaum di kalangan calon dan pastinya perasaan perkauman akan terus menebal apabila bakal guru itu ke sekolah SRJKC dan SRJKT.

“Ada program tidak perlu dipisahkan mengikut sekolah vernakular contoh seperti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Pendidikan Jasmani (KB144016) untuk SJKT dan KB6144021 untuk SRJC dan kursus yang sama dengan kod KB6144026 untuk sekolah kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, program pengajaran bahasa Melayu PISMP pula turut diasingkan mengikut SRJKC dan SRJKT.

"Sewajarnya calon yang layak perlu bersama dalam satu kelas, ini meningkatkan kemahiran komunikasi bahasa itu di kalangan berbilang kaum.

Artikel Berkaitan:

"Kursus yang perlu mengikut sekolah tertentu seperti Bahasa Cina, Tamil, Kadazan Dusun dan Iban diteruskan kerana memerlukan penutur jati bahasa itu sendiri," jelasnya.

Dalam pada itu,Jasni memberitahu,program seperti matematik dan sains rendah boleh diberi latihan secara umum tanpa dipisahkan mengikut SJKC dan SJKT.

"Bakal guru program ini boleh ditempatkan kepada semua sekolah kebangsaan, SJKC dan SJKT kerana kursus dan latihan yang didapati adalah sama,hanya bahasa pengantar yang berbeza

“Oleh itu,kesatuan berharap KPM menyemak kembali tawaran program-program seperti itu agar selain memberi kesan jangka panjang perpaduan kaum, penjimatan penempatan program di IPGM seterusnya penempatan bakal guru yang boleh kongsi sama sebelum permohonan dibuka pada bulan Februari 2020 nanti.